Barcelona rayu isu kad kuning Messi dengan kasut terbangnya

0
4

Barcelona tidak berpuas hati pada perlawanan menentang Sevilla di Stadium Ramon Sanchez Pizjuan pada Ahad malam, apabila pemainnya Lionel Messi dilayangkan kad kuning oleh pengadil Jaime Latre pada minit ke-83

Messi mendapat kad kuning gara-gara kasutnya terlepas dalam pelanggarannya dengan pemain Sevilla, Steven Nzonzi.

Berdasarkan ulang tayang pertandingan, Messi kelihatan berusaha secepatnya mengenakan semula kasutnya, tetapi dia sukar membuka tali yang masih tersimpul pada kasut yang terlepas itu.

Dalam pengadilannya, Latre menuduh Messi sengaja melengahkan masa permainan yang ketika itu Sevilla sebagai tuan rumah ketinggalan 1-2.

Menurut laman sesawang kelab, jurucakap Barcelona, Josep Vives menyatakan pihaknya sudah melakukan rayuan terhadap isu layangan kad kuning terhadap Messi itu.

“Kelab sudah merayu terhadap kad kuning Leo Messi semasa pertandingan melawan Sevilla di Sanchez Pizjuan,” menurut kenyataan rasmi Barcelona seperti dilaporkan berita sukan CNN.

Gol Sevilla dijaringkan oleh Vitolo seawal minit ke-15.

Manakala, Messi menyumbat gawang lawan pada minit ke-43 dan Luis Suarez menambah satu gol pada separuh masa kedua membawa kemenangan 2-1 buat Barcelona. – Sarawakvoice