Wednesday, December 7, 2022

Siti Hasmah jumpa Wan Azizah selepas 18 tahun: Mengapa tiada permohonan maaf?

Secara Rawak

Kolumnis: Dr Muhammad Asri Mohd Ali
Kolumnis: Dr Muhammad Asri Mohd Ali

Kunjungan Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali ke rumah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di Bukit Segambut baru-baru ini bukan sekadar kunjungan muhibah biasa.

Semua tahu bahawa semasa hubungan Anwar-Mahathir sangat mesra, hubungan Wan Azizah dan Siti Hasmah juga amat intim, seperti adik beradik. Namun setelah Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat  sebagai Timbalan Perdana Menteri oleh Mahathir pada 1998, Wan Azizah dan Siti Hasmah juga tidak lagi berhubung seperti sebelumnya.

Seperti kebanyakkan wanita Melayu, kedua-keduanya patuh dan taat kepada suami. Wan Azizah berubah daripada hanya seorang suri rumah kepada seorang ahli politik sepenuh masa, menjadi pemimpin parti PKR dan Ketua Pembangkang di Parlimen Malaysia semenjak 2014.

Semuanya dilakukan atas nama untuk membela maruah suami tercinta yang ditohmahkan dengan pelbagai nista yang mengaibkan dan dua kali meringkuk di penjara atas pertuduhan hampir sama.

Sementara itu, Siti Hasmah terus istiqamah dengan tugasnya seperti biasa, setia mendampingi suami tercinta tanpa mengira hari panas atau hujan dan ribut . Semasa era reformasi, suami beliau pernah dituduh sebagai ‘mahafiraun’, ‘mahazalim’ diktator dan pelbagai lagi label buruk.

Beberapa minggu lalu, suami Siti Hasmah berjabat tangan dengan suami Wan Azizah di dalam kamar mahkamah di Shah Alam tetapi kedua-dua musuh ketat itu tidak banyak bertukar kata. Tiada perkataan “maafkan saya” keluar daripada mulut suami Siti Hasmah.

Setelah 18 tahun tidak berhubung, apakah yang mendorong Siti Hasmah untuk berkunjung ke rumah musuh Wan Azizah? Banyak orang tidak akan percaya jika dikatakan Siti Hasmah berkunjung ke rumah Wan Azizah pada hari Jumaat lalu sekadar hanya untuk minum teh dan bertukar-tukar cerita mengenai cucu mereka!

wan-azizah-siti-hasmah01Adakah Mahathir menghantar Siti Hasmah untuk meminta maaf kepada Anwar dan keluarganya? Jika perkara ini berlaku Wan Azizah sudah pasti akan mengumumkannya kepada dunia. Tetapi tidak ada sebarang perkataan maaf keluar menjadi berita pada hari pertemuan tersebut.

Adakah Mahathir menghantar isyarat menerusi kunjungan isteri beliau itu bahawa hubungannya dengan Anwar kini memasuki fasa baharu? Mahathir dikatakan akan hadir ke Parlimen untuk memberi sokongan moral kepada tiga ahli parlimen yang dahulunya BN yang juga mantan menteri tetapi kini berada bersama barisan pembangkang (Muhyiddin, Shafie dan Husni) yang sedang disiasat oleh polis kerana melanggar sumpah kerahsiaan.

Hanya Wan Azizah dan Siti Hasmah sahaja yang tahu betapa sulit, kompleks dan rumit hubungan antara mereka berdua. Satu kunjungan yang dihiasi dengan ritual seperti berpelukan, bertukar cerita dan saling bertukar hadiah tidak mampu memadamkan luka-luka lama yang parutnya jelas kelihatan amat dalam.

 Kedua-dua wanita terhormat ini telah mengorak langkah yang amat mulia, menjalinkan kembali hubungan silaturrahim. Setelah biduk berlalu kiambang bertaut kembali.

Apabila dua wanita di pentas politik negara ini kembali menjalinkan kerjasama, peluang dan kesempatan politik kini kembali terbuka. Persoalannya siapa yang akan mendapat rahmat daripada amalan baik yang dipentaskan oleh dua wanita yang bergelar nenek ini? – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru