Thursday, December 9, 2021

Pendaftaran semua lulusan PhD sekat penggunaan gelaran Dr palsu

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Semua lulusan PhD di dalam negeri akan didaftarkan secara automatik bagi menyekat pengeluaran sijil akademik palsu.

Kementerian Pendidikan Tinggi (MOHE) dalam satu kenyataan malam tadi berkata, ia juga bertujuan agar penggunaan gelaran akademik boleh diyakini; membolehkan orang awam mendapatkan kesahihan maklumat.

Untuk itu, MOHE  akan menubuhkan pejabat pendaftaran bagi semua pemegang PhD di negara ini dengan pejabat pendaftaran itu diletak bawah Jabatan Pendidikan Tinggi.

Menurut MOHE, pejabat pendaftaran itu tertakluk di bawah Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (Akta 30), Akta Institusi Pendidikan Swasta (Akta 555) dan garis panduan sedia wujud mengenai penggunaan gelaran akademik.

MOHE berkata, ia serius dalam mengambil tindakan terhadap perbuatan mengeluar dan mengguna gelaran akademik palsu oleh individu dan organisasi.

Ia menambah gelaran akademik palsu yang paling kerap diguna dan dikeluarkan di Malaysia ialah “Dr.”, sepertimana pada seseorang lulusan PhD.

“Penubuhan pejabat pendaftaran ini bertujuan memudah dan membantu undang-undang sedia ada, selain perlindungan undang-undang yang diperuntukkan di bawah Kanun Keseksaan, yang membolehkan tindakan jenayah diambil terhadap pengeluaran dan penggunaan gelaran akademik palsu,” kata kenyataan itu.

Bagi lulusan PhD seberang laut, pengesahan akan didapatkan daripada universiti-universiti berkenaan.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru