Wednesday, September 22, 2021

Bot Karam di Entawai Ulu: Bot dijumpai 100 meter dari lokasi

Mesti baca

SRI AMAN: Gerakan mencari dan menyelamat (SAR) mangsa lemas di Batang Lupar dekat sini awal pagi tadi diteruskan sehingga jam 4 petang tadi.

Menurut Penolong Pengarah Operasi, Bomba dan Penyelamat Negeri, Farhan Sufyan Borhan, operasi SAR bermula pada jam 10 pagi tadi melibatkan bot-bot milik polis dan bomba.

“Kekuatan pasukan SAR melibatkan sembilan anggota bomba, empat Agensi Pertahanan Awam (APAM), lapan anggota polis, enam anggota Bomba Sukarela dan penduduk kampung.

Sekitar jam 2.12 petang tadi, kata Farhan, Komander Operasi Nik Afiq Nik Roslan melaporkan bahawa bangkai perahu yang karam telah dijumpai kira-kira 100 meter dari lokasi kejadian.

“Tumpuan kini diberikan kepada radius 5 kilometer di hulu dan hilir Batang Lupar bermula dari lokasi ia karam, berhampiran Entawai Ulu.

Sementara itu, sebentar tadi, pihak bomba mengenal pasti mangsa sebagai Entian ak Liang, 47 tahun dari Rumah Tambi, Entawai di Ulu Engkilili.

Kejadian dipercayai berlaku pada jam 7 petang semalam ketika mangsa dan empat lagi rakan sedang dalam perjalanan memancing ikan.

Bagaimanapun, dalam keadaan hujan lebat, bot yang dinaiki mereka terbalik pada jam 9.30 malam.

Empat daripada rakan mangsa, berjaya menyelamatkan diri dengan berenang ke tebing manakala mangsa hilang ditelan arus.

Maklumat mengenai kejadian hanya dilaporkan kepada pihak polis sekitar jam 12.30 tengah malam tadi, oleh Tuai Rumah Tawai, yang kemudian memanjangkan laporan kepada pihak bomba. – Sarawakvoice

Secara Rawak

Artikel Terbaru