Polis siasat Majlis Peguam terima dana Soros

0
4

KUALA LUMPUR: Polis sedang menyiasat Majlis Peguam berhubung dana yang diterima daripada Open Society Foundations (OSF), yang dikaitkan dengan jutawan Amerika George Soros sejumlah US$15,000.

Majlis Peguam mengakui ia sebagai geran untuk menjalankan kajian penyelidikan mengenai pekerja migran di Malaysia.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar  berkata, siasatan terhadap pertubuhan itu dibuat mengikut Seksyen 124 C Kanun Keseksaan iaitu peruntukan berkaitan kesalahan membabitkan aktiviti-aktiviti yang dianggap memudaratkan demokrasi berparlimen.

“Sebaik sahaja siasatan selesai, kami akan mengemukakan penemuan kami kepada pejabat peguam negara untuk tindakan lanjut,” katanya.

Khalid berkata, lima anggota pasukan khas Bukit Aman akan menyiasat Majlis Peguam, selain ditugaskan menyiasat Malaysiakini dan Bersih.

Malaysiakini dan bersih turut mengakui menerima dana terbabit.

Sementara itu, Majlis Peguam Malaysia berkata ia tidak kisah dengan dakwaan  berkenaan kerana Soros bukannya individu larangan yang disekat pergerakannya dan pihaknya menerima dana itu untuk tujuan kajian penyelidikan.

Presidennya, Steven Thiru berkata, “Jadi perkara itu bukan masalah besar memandangkan dana yang diterima diuruskan oleh OSF dan bukannya beliau (Soros).

“Saya tidak lihat ia boleh mengganggu-gugat sistem perlembagaan demokrasi di Malaysia lagipun ia hanya untuk tujuan mendapatkan keadilan bagi pekerja asing,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis perasmian bangunan Jawatankuasa Peguam Negeri Kelantan di Tanjung Mas di Kota Bharu, hari ini.

Bangunan tiga tingkat itu turut menyediakan bilik mesyuarat, auditorium dengan alatan dan kemudahan terkini untuk jawatankuasa berkenaan dari seluruh negara mengadakan persidangan. – Sarawakvoice