Pas enggan  dipermain penyangak politik yang tamak haloba

0
2
Nasrudin Hassan

KUALA LUMPUR: Pas  mendakwa melalui budaya politik matang dan sejahtera yang diamalkannya menyebabkan parti Islam itu sangat mudah didekati dan mendekati mana-mana pihak, selama dasar dan prinsip perjuangannya tidak dicabar dan diganggu.

“Pas boleh berkawan dengan siapa jua asal kawannya itu sedia menerima dan menghormati dasar dan prinsip perjuangannya iaitu Islam,”kata Ketua Penerangan Pas Pusat, Nasrudin Hassan.

Menurut beliau, pengalaman luas dan lama Pas di pentas politik tanah air dengan pelbagai bentuk tahaaluf siyasi atau kerjasama politik yang telah dilalui, membuktikan Pas adalah sebuah parti  yang banyak bertolak ansur dalam rentak catur politiknya.

Namun, ujarnya, Pas tidak boleh membiarkan dirinya ditolak beransur-ansur oleh petualang serta penyangak politik yang tamak dan haloba.

“Politik dakwah dan amar makruf nahi mugkar menjadi cermin kepada corak keterbukaan versi Pas. Terbuka kerana gerak kerja Pas adalah berorientasikan dakwah dan berjuang untuk menegakkan al-makruf bersama masyarakat di dalam negara tercinta ini,” tambahnya.

“Pun begitu keterbukaannya tidak sampai menerima masuk sampah sarap yang berupa fasad dan mungkar sehingga menghakis nilai dan makna Islam yang diperjuangkan oleh Pas, justeru nahi mungkar menjadi salah satu kriteria budaya politik yang diamalkan oleh Pas,” katanya lagi.

Mutakhir ini, pelbagai pihak termasuk parti-parti politik dan pengamal media sedang memerhati keputusan dan pendirian Pas mengangkat formula mendepani pilihan raya umum kelak.

“Tidak kurang juga cybertrooper dan pelampau media dengan agenda batu api dan racun tuba mereka yang tidak sudah-sudah menyasarkan Pas,” katanya.

Tambah beliau, satu lawan satu atau tiga penjuru atau lebih penjurunya adalah hanya kesan yang terhasil daripada  sikap politik yang diambil.

“Ia bukan perkara pokok. Pas telah diletakkan dalam keadaan bersedia menghadapi apa jua kemungkinan dari kesan yang terhasil itu,” katanya.

“Pas akan terus Pas tidak mungkin membiarkan rumah tangganya diganggu lagi. Pas juga tidak akan mengorbankan prinsip perjuangannya sebagaimana Pas tidak pernah menutup pintu buat tetamu yang tahu adab dan menghormati serta memelihara maruahnya,” katanya.