Thursday, December 8, 2022

Mari membaca di “Pustaka Dalam Peti”

Secara Rawak

KUCHING: Projek “Pustaka Dalam Peti” menyediakan kandungan luar talian digital yang mengandungi maklumat dan ilmu pengetahuan kini direalisasikan khusus untuk warga luar bandar di Sarawak.

Projek pelengkap kepada telepusat (pustaka fizikal) sedia ada ini sesuai dengan perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) untuk menjelmakan bentuk baru fungsi pustaka di seluruh dunia.

Bercakap pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Unimas dengan Pustaka Negeri Sarawak di Pustaka, Petra Jaya pada Jumaat, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) Unimas Prof Dr Kopli Bujang berkata, “tiada keraguan bahawa ICT memainkan peranan penting dalam pembangunan negara dan ekonomi.

“Kehidupan harian kita juga bergantung kepada penggunaan ICT sama ada di rumah atau di tempat kerja,” ujar beliau dan mengganggap kerjasama Unimas bersama pihak luar demi memastikan Unimas sentiasa menyumbang kepada keperluan masyarakat.

Projek Pustaka Dalam Peti merupakan projek kerjasama antara Unimas melalui Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat dengan Pustaka Negeri Sarawak.

Dr Kopli berkata, “terdapat potensi besar dari segi pasaran produk dan perkhidmatan ICT di peringkat global, ini sejajar dengan inisiatif kerajaan Malaysia meletakkan lebih penekanan kepada ekonomi (berteraskan ilmu)pengetahuan.”

Menurut Dr Kopli lagi, “daripada hanya menjadi bangunan fizikal yang menyimpan maklumat yang terkandung dalam buku dan dokumen, peranan perpustakaan juga termasuk penyebaran sumber digital, persekitaran pembelajaran maya dan sebagainya.”

Sebelum ini, Unimas terlibat aktif merapatkan jurang digital melalui beberapa inisiatif seperti eBario, elamai, projek eBa’kelalan dan sebagainya.

Menjadi cabaran bagi Unimas dalam projek ICT seperti ini ialah sambungan rangkaian dan internet yang terhad di luar bandar.

Sementara, penurunan kelajuan sambungan atau terputusnya perkhidmatan mengehadkan akses kepada kandungan digital yang disediakan.

Bagi pusat pustaka fizikal yang disediakan di luar bandar, cabaran dihadapi ialah menyimpan koleksi terkini serta isu logistik dan kos membawa bahan cetak ke kawasan terpencil.

Kelebihan Projek Pustaka dalam Peti ialah ia menyediakan kandungan luar talian digital yang mudah dicapai menggunakan peralatan mudah alih kos rendah seperti komputer Raspberry Pi. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru