Monday, June 27, 2022

Jokowi bidas sikap ganas penunjuk perasaan

Secara Rawak

JAKARTA: Presiden Indonesia, Joko Widodo membidas tindakan penunjuk perasaan yang bertindak ganas sehingga mencetuskan keadaan huru-hara dalam demonstrasi mendesak Gabenor Jakarta, Basuki Tjahaja Purnama atau Ahok supaya berundur daripada kerusinya.

Sekurang-kurangnya 50,000 orang turun ke jalan raya di ibu kota 10 juta jiwa ini sebagai protes terhadap Ahok yang didakwa menghina agama Islam.

Ahok merupakan Gabenor keturunan Cina beragama Kristian  di negara 245 juta jiwa dengan 90 peratus ialah Islam.

Ahok pernah menjadi timbalan Widodo ketika beliau menjadi Gabenor Jakarta dari 2012-2014 sebelum dipilih menjadi Presiden Indonesia.

Penunjuk perasaan terbabit bertolak dari Masjid Istiqlal menuju ke Istana Presiden.

Penunjuk perasaan daripada kumpulan garis keras, Front Pembela Islam (FPI) bertindak ganas menjelang senja dengan menyerang polis, membakar kenderaan dan melontarkan botol dan batu ke arah mereka, menyebabkan beberapa orang mengalami kecederaan.

Polis bertindak dengan melontarkan gas pemedih mata dan memancutkan air ke arah penunjuk perasaan yang jelas dikuasai emosi.

Demonstrasi merupakan sesuatu yang lazim berlaku di ibu kota ini apabila warganya tidak berpuas hati dengan pemimpin.

Presiden yang lebih dikenali sebagai Jokowi kesal dengan kejadian itu apabila tunjuk perasaan yang sepatutnya berjalan aman bertukar ganas.

Tunjuk perasaan juga tercetus di beberapa bandar lain di  Indonesia. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru