Saturday, December 3, 2022

Bangun lebih banyak rumah mampu milik di bandar

Secara Rawak

KUALA LUMPUR – Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) perlu membangunkan lebih banyak projek perumahan di tanah milik Bumiputera di kawasan bandar bagi menyediakan lebih banyak rumah mampu milik kepada rakyat.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Johari Abdul Ghani berkata, SPNB mempunyai kepakaran untuk melaksanakan projek berkenaan berdasar prestasi membangunkan projek-projek perumahan mesra rakyat di luar bandar.

“Kementerian bersedia memberi bantuan dari segi modal pusingan kepada SPNB bagi memastikan projek perumahan yang menyasarkan untuk disewa atau dibeli oleh profesional golongan pertengahan itu disiapkan secepat mungkin,” katanya.

Johari yang ditemui pemberita selepas menyempurnakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) SPNB di Kampung Baru di sini, hari ini, berkata bagi membangunkan projek perumahan dalam bandar, SPNB perlu mempunyai model perniagaan berbeza berbanding pembinaan projek perumahan di luar bandar.

Anggota Parlimen Titiwangsa itu berkata setakat ini SPNB telah mengenal pasti 10 lokasi strategik antaranya di Sentul dan Cyberjaya bagi pembangunan projek perumahan berkenaan.

Katanya kementerian mengalu-alukan golongan Bumiputera yang mempunyai tanah di kawasan bandar untuk mengemukakan permohonan kepada SPNB bagi dipertimbangkan pembinaan rumah mampu milik tersebut atas tanah milik mereka.

Dalam perkembangan lain, Johari berkata pelbagai bentuk perjanjian perniagaan yang dimeterai dengan China semasa lawatan seminggu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke negara itu akan membawa keuntungan kepada ekonomi dan rakyat Malaysia.

Katanya perjanjian tersebut mampu membawa peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan, meningkatkan penggunaan bahan tempatan, di samping mewujudkan persaingan yang sihat kepada industri tempatan.

“Sekarang salah satu negara ekonomi terbesar selepas Amerika Syarikat ialah China. Jadi sekarang polisi negara itu pergi ke negara luar untuk melabur. Jadi kalau dia (China) datang hendak melabur dan perkara itu memberi manfaat kepada kita, ia adalah ok,” katanya mengulas mengenai kebimbangan sesetengah pihak mengenai perjanjian-perjanjian bernilai lebih RM140 bilion itu.

Sementara itu, program CSR SPNB menyaksikan entiti milik Kementerian Kewangan itu memperuntukkan RM150,000 bagi membaiki dan membaik pulih lima buah rumah yang uzur di Kampung Baru.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SPNB Datuk Ahmad Azizi Ali dan Pengerusi Persatuan Penduduk Parlimen Titiwangsa merangkap Pengerusi Perbadanan Pembangunan Kampung Baru Datuk Affendi Zahari.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru