Monday, June 27, 2022

100,000 tunjuk perasaan gesa Gabenor Jakarta dipenjara

Secara Rawak

JAKARTA: Lebih 100,00 umat Islam seluruh Indonesia berdemonstrasi bagi mendesak agar Basuki Tjahaja Purnama atau lebih dikenali sebagai Ahok dipenjara kerana dianggap ”menistakan agama, menodai Al-Quran, melecehkan ulama, dan menghina umat Islam”.

Para penunjuk perasaan mula berdemonstrasi selepas solat Jumaat.

Para peserta demonstrasi yang kebanyakannya memakai baju putih berjalan menuju arah Istana Negara dari Masjid Istiqlal.

Jakarta, kota 10 juta jiwa yang sentiasa tercekik oleh kesesakan lalu lintas tegang pada Jumaat dengan ada daripada pejabat dan syarikat meminta kakitangan mereka bekerja dari rumah.

Sekitar 18,000 anggota keselamatan dan polis mengawal keadaan.

Jakarta sering menyaksikan demonstrasi daripada warganya yang tidak puas hati dengan sesuatu isu, tetapi tunjuk perasaan terhadap Ahok, penyandang Gabenor untuk bertanding semula ke jawatan itu, dianggap sebagai antara yang seru.

Ahok, Gabenor Jakarta yang dilihat berani dan celopar telah menimbulkan kemarahan umat Islam berhubung kenyataannya di suatu majlis yang terkait Surah Al Maidah ayat 51.

Tudingan itu berkaitan ucapan Ahok, penganut Kristian dan berbangsa Indonesia-Cina di satu acara mencetuskan kemarahan umat Islam negara itu apabila mengeluarkan kenyataan mendakwa calon pilihan raya Gabenor Jakarta beragama Islam menggunakan agama untuk mendapatkan sokongan.

Namun, Ahok telah memohon maaf dan mengatakan bahawa dia tidak berniat melecehkan ayat al-Quran.

Sebahagian tokoh Islam juga berpendapat, Ahok tidak boleh  dituduh menista atau menghina.

Tuduhan berkenaan masih dalam siasatan pihak polis Indonesia.

Ahok yang menjadi timbalan Jokowi dari 2012-2014 ketika beliau menjadi Gabenor Jakarta sebelum dipilih sebagai Presiden, berdepan kemungkinan kehilangan pencalonannya jika menjadi suspek kes berkenaan.

Demonstrasi ini diikuti oleh pelbagai Organisasi Kemasyarakatan Islam dan Front Pembela Islam (FPI) yang menjadi pengasas  dan penggerak utama demonstrasi tersebut.

Indonesia dengan penduduk 245 juta terdiri daripada sekitar 90 peratus Islam, dan hanya sekitar dua peratus Cina.

Kes yang hangat ini menjadi peluru baharu bagi kalangan penentang Ahok yang dipimpin FPI, kelompok garis keras pimpinan Habib Rizziek Shihab. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru