Wednesday, December 7, 2022

Wan Azizah: Ahli Parlimen jangan diugut  dengan apa cara sekalipun

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, walaupun soal siasat terhadap Ahli Parlimen Tambun Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah telah ditangguhkan ke hari lain, namun ia berpendirian, beliau tidak sepatutnya dipanggil langsung.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, ini kerana Perlembagaan Persekutuan telah menetapkan  dalam perenggan 2 Perkara 63, “Keistimewaan Parlimen”, bahawa:

“Tiada seorang pun boleh dikenakan apa-apa prosiding di dalam mana-mana mahkamah berkenaan dengan apa-apa jua yang dikatakan atau apa-apa undi yang diberikan olehnya semasa mengambil bahagian dalam apa-apa prosiding mana-mana satu Majlis Parlimen atau mana-mana jawatankuasanya.”

“Ini membawa maksud yang jelas bahawa seseorang Ahli Parlimen itu mempunyai hak untuk bersuara di Parlimen dan tidak dikenakan sebarang tindakan undang-undang di mana-mana mahkamah berkenaan dengan percakapan atau undinya di Parlimen,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut  Wan Azizah yang juga Presiden PKR, pengecualian terhad wujud mengikut perenggan 4 Perkara 63 Perlembagaan Persekutuan berkaitan dengan perlanggaran Akta Hasutan berhubung dengan isu-isu di perkara-perkara 152, 153 dan 181 yang menyentuh kedudukan bahasa Melayu, kedudukan istimewa Melayu dan bumiputra Sabah dan Sarawak dan kedudukan Raja-Raja.

Husni yang juga bekas Menteri Kewangan Kedua telah dipanggil untuk disoal siasat Polis Di-Raja Malaysia  (PDRM) petang kelmarin.

Pada minggu lalu  Husni telah mengambil bahagian dalam perbahasan Bajet 2017. Sewaktu perbahasan tersebut, beliau telah menyentuh perihal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) khususnya bahawa jemaah menteri tidak membincang atau dimaklumkan keadaan sebenar berkenaan 1MDB sewaktu beliau memegang jawatan Menteri Kewangan Kedua.

Akibat daripada ucapan perbahasan beliau itu, Yang Di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia telah dipetik media sebagai berkata ada kemungkinan bekas jemaah menteri telah melanggar sumpah rahsia mereka dan mungkin telah melanggar Akta Rahsia Rasmi 1972 dan/atau Akta Hasutan 1948.  Ini telah disusuli oleh satu laporan polis dibuat terhadap Husni, lalu beliau dipanggil ke Bukit Aman semalam.

“Adalah jelas perkara 1MDB yang disentuh bukan sahaja Ahli Parlimen Tambun, tetapi juga Ahli-Ahli Parlimen Pagoh dan Semporna tiada kaitan langsung dengan peruntukkan Akta Hasutan.  Peruntukkan Akta Rahsia Rasmi 1972 juga tidak terpakai dalam keadaan ini dan hanya terpakai dengan pendedahan dokumen-dokumen yang merupakan satu rahsia rasmi kerajaan,” ujar Wan Azizah.

Tambah beliau, perlindungan di bawah Perkara 63 adalah perlu untuk memastikan amalan demokrasi tulen di Parlimen dan sekiranya hak dan kebebasan yang diberikan disalahguna oleh mana-mana Ahli Parlimen, beliau hanya boleh dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan untuk sebarang tindakan.

“Perbincangan mengenai 1MDB adalah satu perkara yang merupakan kepentingan negara oleh sebab ia adalah skandal kewangan negara yang terbesar dalam sejarah kita dan perlu diberi ruang seluasnya untuk dibincang, khususnya di Parlimen,” katanya.

Oleh itu, beliau berharap pihak PDRM mengambil kira Perkara 63 Perlembagaan Persekutuan ini dan tidak akan memanggil lagi Husni untuk disoal siasat.

“Pada masa yang sama, saya juga berharap bahawa Tan Sri Yang Di-Pertua Dewan Rakyat juga akan memastikan perlindungan tegas yang diberikan kepada ahli-ahli Perlimen melalui Perkara 63 tidak dicabuli dan menasihatkan pihak polis dengan sewajarnya,” jelasnya.

“Semua Ahli Parlimen perlu diberikan ruang secukupnya mengikut Perlembagaan dan Aturan Mesyuarat dan tidak diugut dengan apa cara pun, demi kebaikan masa depan demokrasi di Malaysia,” katanya.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru