Monday, December 5, 2022

Piala Solidariti AFC : Timor Leste terkulai kerana Azwan Ali

Secara Rawak

Kemasukan pemain tengah, Azwan Ali Rahman pada minit ke-58, ternyata membawa tuah kepada Brunei Darussalam malam tadi, apabila penyerang muda ini menjadi faktor kebangkitan dan kemenangan besar 4-0 skuad Tebuan terhadap Timor Leste dalam aksi sulung Piala Solidariti AFC 2016 di Stadium Sarawak, Kuching.

03b1e9de-5f6c-4312-be5a-b0070b37c161

Empat minit selepas masuk menggantikan Mohd Shafie Mohd Efenddy pada babak kedua, Azwan menggegarkan jaring Timor Leste, yang sebelum itu menunjukkan penguasaan permainan yang menyakinkan.

Malah Azwan sekali lagi meledakkan jaringan lima minit kemudian, yang sekali gus merampas semangat juang anak-anak muda pimpinan Fabio Joaquim Da Silva.

Terdahulu, kedua-dua pasukan memulakan 45 minit permainan dengan saling mengasak, namun keadaan air yang bertakung di permukaan padang banyak membataskan pergerakan bola.

Malah sepanjang tempoh tersebut, Timor Leste yang dibarisi kebanyakan pemain muda bawah 19 tahun menunjukkan penguasaan permainan, dengan asakan-asakan yang menarik.

Menjelang babak kedua, Brunei yang dua minggu terdahulu menang ke atas barisan yang sama sewaktu kelayakan Piala AFF Suzuki di Kemboja terpaksa menukar rentak.

Dan kemasukan Azwan bagai duri yang menusuk daging pasukan Timor Leste, apabila melakukan gerakan-gerakan menarik, yang akhirnya menerbitkan jaringan.

Dua gol dalam masa lima minit itu ibarat mimpi ngeri buat Timor Leste, dengan semangat juang mereka tersentap dan semua perancangan serba tidak kena.

Permainan mula bertukar agresif hingga membolehkan Brunei memperoleh satu lagi gol, setelah Azwan dijatuhkan di dalam kotak penalti.

Peluang pada minit ke-70 ini tidak disia-siakan Mohd Shah Razen Said, apabila menyempurnakan tugasan menewaskan Fernandes Aderito Raul.

Dalam keadaan tertekan, Timor Leste cuba bangkit mengasak, namun keadaan permainan menjadi begitu beremosi dan keras.

Kerana terjahan keras yang mengakibatkan suasana tegang, pemain Timor Leste, Rufino Water Gama menjadi pemain pertama dalam sejarah Piala Solidariti AFC dibuang padang pada minit ke-73.

Amukan Brunei bagai tidak berhenti, dan pada minit ke-80, Adi Said merayakan gol keempat pasukannya, bagi membolehkan pasukan itu mengutip tiga mata untuk mengungguli Kumpulan A.

Timor Leste akan menentang Nepal pada Sabtu ini manakala anak-anak buah Kwon Oh Son akan bertemu Nepal pada Selasa depan. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru