Monday, December 5, 2022

Hilang fokus punca tumbang: Jurulatih Timor Leste

Secara Rawak

KUCHING: Hilang fokus dan konsentrasi selepas gol pertama oleh Azwan Ali Rahman pada minit ke-62, punca pasukan Timor Leste kalah teruk kepada Brunei Darussalam dalam aksi sulung Piala Solidariti AFC di Kuching malam tadi.

Ketua Jurulatihnya, Fabio Joaqim Da Silva berkata, keadaan itu menyebabkan anak-anak buahnya melakukan terlalu banyak kesilapan, terutama di bahagian pertahanan.

f04f93ca-9936-4d01-8db3-3fd446f399ae

“Akibatnya, pintu gol kami bocor empat kali,” katanya pada sidang media sejurus perlawanan semalam berakhir.

Skuad muda Timor Leste yang dibarisi banyak pemain bawah 19 tahun itu terpaksa bermain atas padang yang bertakung air berikutan hujan yang turun sejak jam 3 petang di Kuching.

“Mereka cuba menguasai kembali permainan, namun tekanan itu menyebabkan lebih banyak gol dijaringkan lawan sambil seorang daripada pemain kami dibuang padang.

Fabio berkata, dalam aksi separuh masa pertama, kedua-dua pasukan bermain seimbang, biarpun terpaksa bermain dalam keadaan yang tidak menyelesakan.

“Tetapi kami tidak boleh menjadikan keadaan padang sebagai alasan kerana punca sebenar kekaahan adalah ‘kehilangan fokus’.

Kini katanya, para pemainnya perlu melupakan detik kekalahan ini, dan perlu fokus kepada perlawanan seterusnya pada Sabtu ini.

“Kita perlu tampil berbeza dan tidak ada pilihan lain selain menang.

“Malah kita akan menukar taktik sambil menukarkan tiga ke empat pemain untuk menampilkan kesegaran dalam pasukan,” jelasnya lagi.

Selepas ini kata Fabio, beliau akan berbincang dengan para pemainnya berhubung perlawanan ini dan perlawanan menentang Nepal selepas ini.

“Kekalahan ini harus kami pikul bersama. Saya tidak akan menyalahkan dan membunuh pemain saya kerana itu.

“Sebaliknya ia tanggungjawab yang harus dipikul semua, termasuk saya sebagai jurulatih.

“Kami perlu melihat kembali kesilapan dan kealpaan kami yang menyebabkan kami tewas dalam keadaan yang begitu teruk.

Fabio berkata, beliau berharap semuanya akan selesai menjelang aksi seterusnya, bagi menghidup peluang ke peringkat separuh akhir. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru