Wednesday, December 7, 2022

Jadi cikgu tidak kaya harta tapi kaya budi

Secara Rawak

KABONG: Jadi cikgu tidak kaya , tidak mewah tidak apa, Tuhan janjikan bonus dan kekayaan yang lebih besar jika berkhidmat dengan baik dan ikhlas.

Itu amanat pesara guru besar, Kiprawi Jelani,60, ketika berucap pada majlis meraikan persaraannya di sini hari ini.

cikgu-kaya-budi-kabong01

Majlis atas anjuran Majlis Guru Besar (MGB) Daerah Kabong itu dilangsungkan secara sederhana di Restoran Mini Odah di sini dihadiri oleh semua guru besar di daerah itu.

Menurut Kiprawi, amanah sebagai guru besar selaku teraju utama di sekolah memerlukan komitmen dan pengorbanan tanpa perlu banyak mempersoal imbalan dari segi material mahupun pengiktirafan dalam perkhidmatan.

“Jalankan tugas yang diamanahkan dengan sebaik mungkin dan jaga kualiti pencapaian di sekolah dengan rapi. Allah akan beri kita kesihatan yang baik dan anak-anak yang bijak dan berjaya. Itu kekayaan yang amat besar ertinya berbanding kekayaan lain.

“Jangan terlalu tertekan dengan timbunan tugas sebaliknya selalulah bertugas dengan sabar dan tenang bagi menyerap segala bentuk tekanan yang hadir.

“Tidak dinafikan tuntutan kerjaya keguruan kadang-kadang menguji ketahanan mental dan perasaan.Namun pengalaman kita boleh mengatasi dan mengimbangi semua itu,” ujarnya.

Kiprawi seterusnya berharap kepada semua rakan guru besar yang masih berkhidmat agar terus melonjakkan prestasi sekolah masing-masing pada tahap yang semaksima mungkin untuk mengangkat darjat sekolah yang ditadbir.

cikgu-kaya-budi-kabong00

Katanya lagi, jadikan segala masalah dan kekangan sebagai cabaran yang boleh menjadikan para guru besar semakin matang dan bijak dalam memyelesai masalah.

Kiprawi memulakan kerjaya sebagai guru pada tahun 1979 di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Emplam sebaik menamatkan latihan perguruan di Maktab Perguruan Rajang Bintangor.

Beliau mula menjawat jawatan sebagai guru besar sejak tahun 2005 dan bersara wajib pada 24 Julai 2016.

Beliau mempunyai lima cahaya mata iaitu seorang perempuan dan empat lelaki yang kini semua telah bekerja. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru