Monday, December 5, 2022

Lelaki tikam jiran dengan pisau kerana marah bunyi bising motosikal di Samariang

Secara Rawak

KUCHING: Kerana pulasan minyak pada pemegang motosikal, seorang lelaki nyaris cedera apabila cuba ditikam dengan sebilah pisau di Lorong Cenderawasih, Samariang dekat sini petang Ahad lalu.

Dalam kejadian sekitar jam 6.40 petang itu, mangsa sedang berada di luar rumahnya sambil bercakap menggunakan telefon bimbitnya, sebelum seorang jirannya yang dikenali sebagai Pian menghampiri dan cuba menikamnya dengan menggunakan pisau pemotong sayur.

Mangsa, seorang juruteknik yang berusia 26 tahun bagaimanapun berjaya mengelak tikaman tersebut sebelum lari menyelamatkan diri.

Kejadian dikatakan disaksikan oleh beberapa kawan mangsa dan keluarga suspek, yang terkejut dengan tindakannya.

Menurut sumber polis, berdasarkan maklumat awal, suspek marah kerana mangsa dan rakannya membunyikan enjin motosikal berhampiran rumah suspek.

Suspek malah dikatakan pernah memberi amaran kepada mangsa agar tidak membuat bising namun tidak diendahkan.

Mangsa selepas itu membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut.

Sumber memberitahu, suspek yang juga seorang penganggur berusia 29 tahun dan masih bujang kini sedang diburu.

Polis katanya, melakukan siasatan terhadap kes ini di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana cubaan mendatangkan kecederaan. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru