KABONG: Produk tempatan seperti kuih suman dan celorot perlu terus diperkasa agar produk berstatus kampung itu mampu menjadi ‘magnet’ berkapasiti luar biasa bagi menarik kehadiran pengunjung ke Daerah Kabong.

Ahli Dewan Undangan Negeri ( ADUN) N.40 Kabong, Mohd Chee Kadir berkata penghasilan produk kuih-muih tempatan perlu dilihat dalam skop yang lebih besar agar aset sedemikian tidak hanya berlegar di kawasan kampung.

Sebaliknya ia perlu dipromosi agar berjaya menembusi pasaran yang lebih besar bagi meningkatkan pendapatan penduduk.

Chee yang berucap bagi merasmikan Program Skuad Elite Jiran Wanita (Sejiwa) Bahagian Betong di sini kelmarin berkata, Kabong mempunyai banyak hasil tempatan yang boleh diketengah dan boleh menjadi daya penarik untuk pengunjung terus datang ke daerah yang memang dikenali dengan banyak produk penduduk dan kaya hasil bumi.

Beliau yang hadir dengan ditemani isteri, Mariani Mohd Yassin turut berharap agar pengusaha kuih tempatan mengambil langkah proaktif bagi mempertingkat mutu dan hasil keluaran masing-masing untuk bersaing di pasaran yang lebih terbuka.

Kuih suman yang menjadi ikonik daerah Kabong merupakan makanan berasaskan tepung rumbia dan diberi inti udang serta dibalut dengan daun nipah. Ia dimasak dengan cara dipanggang di atas bara dan dijual dengan harga 50 sen dan seringgit setiap satu.

Manakala kuih celorot yang dibuat berasaskan tepung bercampur kelapa dan gula apong dijula dengan harga RM1.00 untuk empat batang.

Hadir sama pada program tersebut ialah Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Negeri Sarawak, Dirwana Azool, Pegawai Perpaduan Bahagian Betong, Dolhan Wahid dan Wakil Pegawai Daerah, Ahmad Sabri Salleh.

Sementara itu, Dirwana dalam ucapan alu-aluannya sebelum itu memuji kerjasama kaum wanita di daerah itu yang begitu aktif dalam melaksana banyak program dan aktiviti sepanjang tahun ini.

Penglibatan wanita dalam memacu ekonom keluarga kata Dirwana amat dikagumi dan merupakan satu pengorbanan yang sangat murni dan besar maknanya.

Lantaran itu beliau berjanji akan terus menyalur bantuan berupa idea dan dana kepada golongan wanita untuk aktiviti yang akan datang. – Sarawakvoice