KUALA LUMPUR: Hutang syarikat pelaburan strategik, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan projek-projek yang berkaitan dengannya tidak diklasifikasikan sebagai hutang Kerajaan Persekutuan, kata Menteri Kewangan.

“Oleh itu, hutang syarikat 1MDB dan projek yang berkaitan dengannya tidak menyumbang kepada jumlah hutang kerajaan persekutuan,” kata Datuk Seri Najib Razak.

Beliau yang juga perdana menteri berkata demikian dalam jawapan bertulis parlimen terhadap soalan lisan Teresa Kok (DAP-Seputeh).

Anggota parlimen pembangkang itu mahu tahu jumlah hutang negara berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 30 September 2015 dan 30 September 2016.

Menurut kenyataan itu, kedudukan terkini jumlah hutang Kerajaan Persekutuan pada akhir Jun 2016 adalah sebanyak RM655.7 bilion atau 53.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK).

Katanya, daripada jumlah berkenaan, 95.9 peratus atau RM628.8 bilion adalah hutang domestik iaitu bersamaan dengan 51 peratus KDNK.

“Sementara itu, 4.1 peratus lagi atau RM26.9 bilion iaitu bersamaan 2.2 peratus daripada KDNK merupakan pinjaman luar pesisir.

“Kedudukan hutang Kerajaan Persekutuan kekal terurus dan dikategorikan sebagai negara keberhutangan sederhana,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, jika dibandingkan pada Jun 2015, hutang Kerajaan Persekutuaan adalah sebanyak RM627.5 bilion atau 54.2 peratus daripada KDNK.

Katanya, kementerian akan mengeluarkan data mengenai hutang Kerajaan Persekutuan bagi bulan September 2016 melalui Laporan Ekonomi Suku Tahunan Ketiga 2016 yang akan diterbitkan pada bulan November ini.

Katanya lagi, sebanyak 95.9 peratus (RM628.98 bilion) ialah hutang domestik, sementara 4.1 peratus (RM26.9 bilion) lagi merupakan pinjaman luar pesisir.

“Jika dibandingkan pada Jun 2015, hutang kerajaan persekutuan adalah sebanyak RM627.5 bilion atau 54.2 peratus daripada KDNK.