KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Annuar Musa berpendirian, tidak salah bagi bekas Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah membangkitkan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dalam perbahasan Bajet 2017 baru-baru ini.

Malah, katanya yang juga Ahli Parlimen Ketereh, Husni tidak melanggar mana-mana peraturan parti (Umno).

“Dalam sudut parti ahli parlimen kita bebas untuk bersuara. Sebelum ini  ada juga ahli Parlimen kita yang tegur kerajaan jadi dari sudut itu setakat ini, kita tidak nampak ia ada melanggar mana-mana peraturan peringkat parti, “ katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini, hari ini.

Annuar berkata, sering kali Ahli Parlimen Umno/Barisan Nasional  menegur kerajaan dalam Dewan Rakyat.

“Tapi kalau ikut undang-undang semasa itu polis perlu siasat dan menentukannya,” katanya.

Sebelum ini, Ahmad Husni dan bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta bekas Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, didakwa membocorkan rahsia kerajaan ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2017 di Dewan Rakyat.

Mereka dikritik pelbagai pemimpin Umno kerana didakwa membocorkan rahsia kerajaan dan perbuatan itu boleh didakwa di bawah Akta Rahsia Rasmi.

Dalam perbahasan ucapan Bajet 2017 itu, Ahmad Husni meminta kerajaan menyatakan tujuan 1MDB ditubuhkan, selain tindakan yang mungkin dikenakan terhadap pengurusan agensi itu jika didapati bersalah.

Petang ini, Ahli Parlimen Tambun  itu diminta ke Ibu pejabat Polis Bukit Aman bagi memberi kenyataan berhubung perkara itu. – Sarawakvoice