KUCHING: Kerana hanya diberikan RM10, seorang anak sanggup mengugut untuk menetak ibunya dengan parang, kerana enggan memberi lebih wang.

Itu kisah sedih yang dikongsikan seorang suri rumah berusia 56 tahun, apabila anaknya yang dipercayai di bawah pengaruh dadah, memaksa ibunya untuk memberi duit lebih.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Abang Ahmad Abang Julai berkata, kejadian berlaku sekitar jam 6.30 petang pada Rabu lalu.

“Suspek yang berusia 30 tahun pada mulanya meminta duit daripada ibunya, namun hanya diberikan RM10, dengan alasan ibunya kesempitan wang.

“Si ibu kemudian enggan melayan suspek sebelum beredar menuju ke rumah anak saudaranya yang terletak berdekatan, bagi mengelak terus didesak.

Setelah melihat suspek beredar dari rumah, si ibu kembali semula ke rumahnya untuk solat Isyak.

“Ketika itu, suspek yang juga seorang penganggur bergegas kembali ke rumah dengan tangannya menggenggam sebilah parang sambil mengugut ibunya: ‘ Kitak kutetak dengan parang kelak!’”.

“Suspek kemudian mengejar si ibu ke bahagian dapur rumah dan mengambil pula pisau pemotong daging sambil menjerit: ‘ Kitak benar-benar sik merik duit kah” sambil mengugut untuk menetak tangan dan kaki ibunya.

Khuatir diapa-apakan, si ibu kemudian melarikan diri sebelum membuat laporan polis sekitar jam 9.49 malam di Balai Polis Gita.

Kata Abang Ahmad, susulan daripada laporan tersebut, sepasukan pegawai dan anggota penyiasat daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching bertindak segera, kurang sejam daripada laporan dibuat, dengan menahan suspek di rumahnya.

“Turut dirampas ialah pisau pemotong daging yang dijadikan senjata untuk mengugut ibunya.”

Kes kata Abang Ahmad, masih dalam siasatan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah. – Sarawakvoice