Monday, November 28, 2022

Bocor rahsia kerajaan: Muhyiddin, Shafie, Husni disiasat di bawah Akta Rahsia Rasmi

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, polis akan mengambil keterangan tiga bekas anggota kabinet dalam masa terdekat yang didakwa membocorkan rahsia kerajaan baru-baru ini.

“Kita telah membuka kertas siasatan berhubung perkara ini dan kesemua individu terbabit akan dipanggil memberi keterangan dalam tempoh sehari dua lagi,” katanya seperti dipetik Bernama,

Siasatan dibuat mengikut Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972 kerana mendedahkan rahsia kerajaan termasuk berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Beberapa laporan polis turut diterima pihak berkuasa setakat ini.

Dua badan bukan kerajaan iaitu Jaringan Melayu Malaysia (JMM) dan Kelab N87 Wilayah Persekutuan sebelum ini membuat laporan polis mengenai perkara itu.

Bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, bekas Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah didakwa membocorkan rahsia kerajaan ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2017 di Dewan Rakyat.

Sementara itu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, kerajaan menyerahkan kepada pihak berkuasa, termasuk Pejabat Peguam Negara untuk mengambil tindakan sesuai terhadap tiga bekas menteri terbabit.

Katanya, membocorkan rahsia kerajaan adalah perkara serius dan tidak sewajarnya dilakukan bekas menteri kerana mereka telah berikrar untuk menyimpan rahsia kerajaan.

Bercakap kepada pemberita di Melaka semalam Hishammuddin yang juga Naib Presiden Umno berkata: “Saya tak tahu bagaimana mereka yang sudah bersama-sama kita selama ini menggunakan maklumat ketika dalam kerajaan. Ini perkara asas untuk memastikan perjalanan kerajaan lancar.” – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru