KUCHING: Selepas penangkapan suspek utama dua hari lalu, kes pembunuhan seorang lelaki di Ulu Sungai Arip memasuki episod baharu apabila

Mahkamah Majistret Miri menolak permohonan reman dan membebaskan sembilan suspek yang sebelum ini ditahan untuk membantu siasatan, pagi semalam.

Antara suspek tersebut termasuk mereka yang berada dalam senarai yang dikehendaki polis sebelum ini, dan mereka sebelum ini tampil menyerah diri di Balai Polis Miri.

Ketua Siasatan Jenayah Sarawak, Senior Asisten Komisioner Datuk Dev Kumar jelas kecewa dengan keputusan tersebut kerana percaya, kesemua sembilan individu ini amat penting dalam membantu siasatan untuk mengetahui apa yang berlaku.

“Perintah tahanan reman terhadap mereka amat diperlukan agar pasukan penyiasat dapat membawa mereka ke Mukah untuk soal siasat selain mengenal pasti peranan mereka dalam kes bunuh di Sungai Arip.”

Secara keseluruhan, seramai 22 suspek telah ditahan iaitu 10 penduduk rumah panjang dan 12 lelaki dari Miri untuk membantu siasatan kes. – Sarawakvoice