Thursday, August 18, 2022

Festival Tebingan Kuching-Regata S’wak 2016 November depan

Secara Rawak

KUCHING: Festival Tebingan Kuching-Regata Sarawak 2016 mengekalkan tema “The Race For Harmony” berlangsung 11-20 November depan, mampu menyumbang pembangunan ekonomi Sarawak serta menarik kedatangan pelancong seluruh dunia.

Empat acara utama yang diadakan di Tebingan Sungai ialah Perlumbaan Perahu Naga Antarabangsa (11-13 November), Perlumbaan Perahu Sarawak Regatta (18-20 November), Festival Jualan Makanan (Sarawak Kitchen & Asia Food Kitchen) serta Promosi serta Jualan Kraf Malaysia.

screen-shot-2016-10-29-at-06-55-50

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Haji Openg berkata, Festival Keusahawanan, Jualan Makanan dan Jualan Kraf bakal disertai 24 gerai menu makanan dan 10 gerai menu pesta makanan serta 100 gerai jualan kraf.

Manakala, acara lain yang dijalankan ialah  persembahan budaya, pertandingan karaoke, persembahan buskers dan nyanyian penyanyi jemputan.

Bercakap pada sidang media selepas pelancaran Jawatankuasa Induk pada Jumaat, Abang Johari berkata, “bagi acara Perlumbaan Bot Naga Antarabangsa, sebanyak 26 pasukan antarabangsa menyertainya terdiri daripada 800 pengayuh.”

Sementara, untuk Perlumbaan Perahu Regata Sarawak yang bermula 18 hingga 20 November dijangka disertai 7,000 pengayuh.

Perlumbaan Bot Naga Antarabangsa menawarkan hadiah wang tunai bernilai RM45,500 termasuk piala serta pingat.

Pada tahun ini, sebanyak 17 kategori lumba perahu dipertandingkan yang melibatkan perahu tambang berdayung, perahu tambang berenjin, perahu balik, perahu bidar dan perahu kenyalang.

Keseluruhan lumba perahu Regata Sarawak melibatkan 26 peringkat saringan dan 17 peringkat akhir.

Acara kemuncak Regata Sarawak ialah merebut Piala Raja Sungai yang bakal membawa pulang hadiah berupa piala dan wang tunai bernilai RM10,000.

Johari yakin, penganjuran kali ini bakal memberi impak besar kepada industri makanan Sarawak selain mempromosikan makanan tradisional negeri ke mata dunia.

Festival Jualan Makanan yang diadakan sebelum ini mendapat respons positif daripada pengunjung khususnya pelancong asing.

Abang Johari yang juga Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan berkata, “kita harus melihat sektor pelancongan ini adalah antara sektor yang boleh memberi pendapatan baharu.”

Menurut Abang Johari, Regata Sarawak kali ini menarik sumbangan penajaan lebih RM1 juta antaranya daripada Petronas (RM500,000), Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak (RM300,000), Petra Energy Berhad (RM100,000), Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia (RM100,000) dan Cahaya Mata Sarawak (RM30,000) dan Sacofa (RM10,000).

“Ia merupakan peruntukan dari sektor awam dan kita turut berterima kasih kepada sektor swasta yang menyumbang tajaan seperti Petronas, Petra Energy, Sacofa dan sebagainya,” kata beliau. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru