Thursday, December 8, 2022

Benarkah IPG Rajang, Miri, Samarahan diubah suai jadi Politeknik, Kolej Vokasional?

Secara Rawak

KUCHING: Desas-desus menyebut tiga kampus Institut Pendidikan Guru (IPG) di Sarawak termasuk dalam senarai sembilan IPG yang akan diubah suai untuk dijadikan sama ada Politeknik, Kolej Vokasional atau pusat pembangunan guru profesional.

Tiga IPG di Sarawak yang disebut-sebut itu ialah IPG Rajang, IPG Miri dan IPG Tun Abdul Razak Kota Samarahan.

screen-shot-2016-10-29-at-07-11-24

Menteri Kebajikan, Wanita dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Hajah Fatimah Abdullah berkata, “kita mendengar, dua daripada IPG terbabit adalah di Sarawak iaitu IPG Rajang dan IPG Miri.

“Sekiranya benar, kita khuatir akan kesannya apabila IPG Rajang satu-satunya IPG melatih guru mengajar Bahasa Iban.

“Manakala, IPG Miri satu-satunya IPG melatih guru yang berkaitan dengan kokurikulum kaum Penan serta Orang Asli,” jelasnya.

Fatimah menambah, “kita juga mendengar desas-desus IPG Tun Abdul Razak Kota Samarahan tidak lagi mengambil pelatih baharu apabila ingin digunakan sebagai pusat pembangunan guru profesional.”

Beliau turut melahirkan keresahan apabila sehingga kini belum menerima sebarang surat rasmi berhubung dasar terbabit daripada Kerajaan Persekutuan.

Menurut Fatimah, sekiranya hal ini benar, beliau mahu perbincangan lanjut diadakan bersama barisan pentadbir IPG bagi memberi penjelasan sewajarnya berhubung isu ini.

Dasar mengubah suai kampus IPG menjadi  Politeknik dan Kolej Vokasional dibentang oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Bajet 2017.

“Sebelumnya, kita hanya mendengar desas-desus dan (ia) disahkan dalam pembentangan Bajet 2017 yang sekali gus mengundang keresahan pelbagai pihak,” kata Fatimah.

Kerajaan Negeri berharap perbincangan lanjut dengan Kerajaan Persekutuan diadakan berkaitan dasar mengubah suai kampus IPG ini.

“Banyak persoalan kini belum menemui jawapannya dan kita berharap agar Kerajaan Persekutuan memberi tindak balas secepat mungkin,” ujar Fatimah.

Beliau turut berkata, Kerajaan Negeri amat menyokong dasar kerajaan untuk membangunkan latihan teknikal di negara ini tetapi penilaian menyeluruh harus dilakukan sekiranya kampus IPG diubah suai. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru