Unimas boleh muncul pusat rujukan global

0
2

KOTA SAMARAHAN: Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) boleh muncul sebagai pusat rujukan global dan universiti setaraf universiti berkelas dunia dalam bidang penyelidikan biokepelbagaian dan pengajian Borneo.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal berkata, universiti yang itu mampu muncul  sebagai pusat kecemerlangan dalam bidang berkenaan, apatah lagi Sarawak kaya dari segi spesies flora dan fauna yang berpotensi untuk diterokai dan diselidiki.

Dengan kemajuan penyelidikan dalam bidang berkenaan, menurut beliau, akan dapat meningkatkan taraf hidup, serta memberi sumbangan signifikan, antara lain dari segi pelancongan, aktiviti ekonomi dan makanan.

“Penting bagi Unimas untuk menjalin kerjasama dengan universiti luar bagi menjamin kejayaan Sarawak dan Malaysia. Jika Sarawak maju, Malaysia akan maju,” katanya dalam Syarahan Perdana Transformasi Perkhidmatan Awam di Arena Gemilang, Detar Putra, Universiti Malaysia Sarawak, di sini, semalam.

Syarahan itu ialah acara di bawah “Program Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Fakulti”.

Program itu diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi bagi menyokong lonjakan Pelan Pendidikan Malaysia yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada 2015.

Melalui program itu, kerjasama antara industri dan universiti dilibatkan khususnya dalam program pembelajaran melalui pengalaman berserta kerangka penilaian bersepadu baharu yang melihat kea rah pembangunan holistik.

Mejangkau usia 25 tahun pada 24 Disember ini, Unimas mempunyai lapan fakulti, dengan pelajar mencecah hampir 19,000 melalui 42  program akademik.

Unimas kini mempunyai 876 staf akademik dan  1,472 staf bukan akademik.

Bagi memperkasa bidang penyelidikan, universiti itu mempunyai sembilan pusat kecemerlangan dan lima institut dengan tumpuan terhadap tiga bidang tujahan termasuk biokepelbagaian, transformasi komuniti mampan serta informasi, komunikasi dan teknologi kreatif.