JOHOR BAHRU: Kebakaran di Unit Rawatan Rapi Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini bukan  berpunca daripada telefon bimbit dicas, seperti yang didakwa dalam media sosial.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor berkata punca sebenar kejadian belum dikenal pasti kerana siasatan kebakaran masih dilakukan.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Johor Mohd Rizal Buang berkata, pasukannya masih menjalankan siasatan dan mengumpul bukti di lokasi kejadian untuk dibawa ke makmal ibu pejabat JBPM negeri selain merekod dan menemu bual saksi kejadian.

“Saya sendiri yang mengetuai operasi itu…saksi memberitahu kebakaran berpunca dari bilik rawatan. Bilik rawatan cuma ada peti ais yang menempatkan ubat-ubatan…itu sahaja yang kita nampak di lokasi itu,” katanya kepada pemberita semasa ditemui di HAS semalam.

Mohd Rizal berkata pihaknya juga menyerahkan kembali kepada HSA untuk tindakan lanjut setelah pemantauan Aras 1, yang ditutup sementara akibat percikan api semalam, didapati tiada bahaya yang boleh menyebabkan kebakaran.

Namun, pasukan bomba sentiasa ditempatkan di HSA ketika operasi pembersihan dijalankan, katanya.

Dalam pada itu, Mohd Rizal menyarankan supaya semua bangunan terutamanya bangunan lama menjalani pemeriksaan tahap keselamatan serta menaik taraf sistem keselamatan. – Sarawakvoice