KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mempertimbangkan untuk menaikkan jumlah had tuntutan di bawah Tribunal Tuntutan Pembeli Rumah (TTPR).

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar

berkata, had tuntutan sebanyak RM50,000 yang ditetapkan sekarang tidak lagi sesuai dengan harga rumah yang tinggi ketika ini.

“Kami memang sedang mengkaji untuk menambahkan lagi tuntutan yang boleh dituntut di bawah tribunal ini, RM50,000 memang tidak sesuai dengan harga rumah yang meningkat kini,” katanya menjawab soalan pada sidang Dewan Rakyat semalam.

Melalui TTPR pemilik rumah tidak perlu lagi menyelesaikan kes di mahkamah, mereka boleh pergi ke tribunal dengan hanya membayar RM10.

Beliau berkata, sebarang dasar yang dilaksanakan kerajaan boleh diubah mengikut kehendak dan kesesuaian semasa.

Namun, beliau tidak menyatakan jumlah kenaikan itu.

TTPR yang ditubuhkan pada 1 Dis 2002 merupakan wadah alternatif untuk menyelesaikan pertikaian berkaitan perumahan antara pembeli dengan pemaju perumahan berlesen dengan mendengar nilai tuntutan tidak melebihi RM50,000.

TTPR mengendalikan dua jenis tuntutan iaitu Tuntutan Bukan Teknikal dan Tuntutan Teknikal. Jenis pertama membabitkan ganti rugi bagi kelewatan penyerahan milikan kosong dan ganti rugi bagi kelewatan penyerahan kemudahan bersama.

Jenis kedua merupakan ganti rugi bagi kecacatan mutu kerja dan ganti rugi kerana pembinaan tidak mematuhi spesifikasi sebagaimana yang dinyatakan di dalam perjanjian jual beli.

“Sejak 2010 hingga September tahun ini, sebanyak 13,905 kes didaftarkan di bawah TTPR dan daripada jumlah itu, 13,611 kes diselesaikan,” katanya. – Sarawakvoice