Ada mahasiswa sanggup rasuahkan pensyarah untuk naikkan gred, lulus ujian?

0
12

KUALA LUMPUR: Pengerusi Pertubuhan Aspirasi Akademia Ummah Sejahtera (Arus) Perak, Dr Mohd Nuri al-Amin menggesa Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menyiasat dakwaan perlakuan rasuah melibatkan pelajar dan pensyarah di Institut Pengajian Tinggi (IPT).

Sebelum itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Shamshun Baharin Mohd Jamil mengesahkan wujud perlakuan pelajar menawarkan wang kepada pensyarah bertujuan menaikkan gred pencapaian akademik dan untuk lulus peperiksaan di IPT tempatan.

Memetik laporan Malaysia Dateline pada Jumaat, Dr Mohd Nuri turut menggesa agar ditubuhkan jawatankuasa khas menyiasat isu ini agar tidak merebak berleluasa di semua IPT sama ada awam mahupun swasta.

“Gejala tidak sihat di kalangan mahasiswa ini perlu dibendung secara serius kerana ia tidak sepatutnya wujud dalam institusi pendidikan yang menjadi pusat penyebaran ilmu ketamadunan, pengukuhan nilai mulia dan pembangunan modal insan,” ujar Dr Mohd Nuri.

Dr Mohd Nuri menggesa pihak IPT memberi komitmen menentang rasuah kerana masa depan negara boleh hancur jika IPT menjadi medan permulaan kepada gejala rasuah.

Bagi beliau, rasuah perlu ditentang habis-habisan dengan pihak KPT dan SPRM berganding bahu membanteras rasuah di IPT agar integriti IPT di negara ini tidak tercemar.

Bagi Dr Mohd Nuri, pengukuhan sistem nilai di kalangan mahasiswa penting kerana mereka bakal menjadi pemimpin, pentadbir atau pembuat dasar yang perlu bebas dari najis rasuah. – Sarawakvoice