MUKAH:  Ketua Polis Daerah Mukah, Deputi Superintenden Jimmy Panyau hari ini menafikan berlakunya serang balas dan ancaman daripada kumpulan samseng susulan kes tembak di Ulu Sungai Arip semalam.

Menurutnya, dakwaan kononnya kumpulan samseng dari Miri dan Bintulu turun ke kawasan itu untuk menuntut bela hanyalah dakyah palsu dan bertujuan mewujudkan ketidaktenteraman awam.

“Ada dalang yang tidak bertanggungjawab telah menyebarkan berita palsu di media sosial dengan  menyatakan akan berlaku serangan balas daripada samseng ini.

“Saya boleh mengesahkan bahawa ia tidak benar sebaliknya kita telah meningkatkan kawalan dan keanggotaan di kawasan ini,” jelasnya ketika dihubungi sarawakvoice.com.

Bagi mengawal keadaaan di sekitar Ulu Sungai Arip katanya, pihaknya mengadakan sekatan-sekatan di jalan masuk dan keluar kawasan tersebut.

“Polis juga sedang mengenal pasti dalang yang memviralkan berita palsu ini dan akan mengambil tindakan kerana perbuatan mereka telah menimbulkan keresahan serta mengugat ketenteraman awam,” tegasnya.

Dalam kejadian dua hari lalu, seorang lelaki maut dipercayai ditembak dan ditetak setelah bertempur dengan penduduk rumah panjang yang mengadakan halangan ke kawasan ladang kelapa sawit di kawasan tersebut.

Berikutan kes tersebut, polis telah menahan beberapa individu termasuk tiga tuai rumah untuk membantu siasatan. – Sarawakvoice