Saturday, December 3, 2022

Lebih 6,000 maut sehingga M’sia rugi RM8.3 bilion setiap tahun akibat kemalangan jalan raya

Secara Rawak

MIRI: Tanpa pendekatan program keselamatan jalan raya menyeluruh atau intervensi, kematian akibat kemalangan di negara ini dijangka meningkat 56 peratus mengakibatkan sehingga 10,716 maut pada 2020.

Setiap tahun, negara kehilangan lebih 6,000 jiwa akibat kemalangan jalan raya yang turut mendatangkan kerugian lebih RM8.3 bilion.

Menteri Muda Kerajaan Tempatan Datuk Dr Penguang Manggil berkata, “faktor utama kemalangan jalan raya adalah disebabkan kecuaian manusia, iaitu memandu secara berbahaya, memandu laju dan kepenatan.”

Bercakap pada Majlis Perasmian Kempen Keselamatan Jalan Raya Peringkat Komuniti, Sekolah, Jabatan Kerajaan di Dewan Masyarakat Beluru, Bakong di Miri, Dr Penguang berkata, belia 16 hingga 25 tahun menyumbang sepertiga daripada jumlah kematian akibat kemalangan jalan raya.

Dr Penguang berkata kesedaran minda masyarakat khasnya pelajar perlu dipupuk mengamalkan budaya keselamatan jalan raya antaranya wajib memakai topi keledar, tali pinggang keledar hadapan dan belakang.

Program keselamatan jalan raya ini bertepatan dengan langkah intervensi yang digariskan pada Tonggak Strategik Ke-4 Pelan Keselamatan Jalan Raya Malaysia 2014-2020 – Pengguna Jalan Raya Yang Selamat.

Pelan ini juga berpandukan Tindakan Sedekad Global Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB). – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru