KUCHING: Polis Sarawak yakin kes pembunuhan seorang lelaki di Ulu Sungai Arip di Mukah selesai selepas berjaya menahan seorang lelaki di sebuah rumah panjang berhampiran lokasi kejadian, hari ini.

Pesuruhjaya Polis Negeri, Datuk Mazlan Mansor berkata, lelaki berusia 54 tahun itu yang juga suspek utama kes tersebut ditahan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Mukah, sekitar jam 2 petang tadi.

“Polis turut merampas selaras senapang patah atau bekakuk buatan sendiri yang dipercayai digunakan dalam pergaduhan berkenaan hingga menyebabkan kematian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ia merupakan kejayaan terpenting terkini JSJ tahun ini, selepas beberapa kes berprofil tinggi yang menjadi tumpuan umum di negeri ini.

Terdahulu, polis turut menahan sembilan lelaki berusia di antara 18 hingga 45 tahun yang terlibat dalam kes pergaduhan ini sejurus mereka menyerah diri di Balai Pusat Miri.

“Empat daripada sembilan lelaki terbabit merupakan suspek yang dikehendaki seperti yang dihebahkan sebelum ini.

“Sehingga kini, keseluruhannya 22 individu ditahan berhubung kes berkenaan, dengan 10 daripadanya adalah penduduk rumah panjang berkenaan,” katanya.

Kesemua suspek dipindahkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah untuk siasatan lanjut.

Dengan tertangkapnya suspek utama dan individu yang disyaki terlibat, polis berharap tiada lagi khabar angin berkaitan “serang balas” dan “balas dendam” bertiup di kawasan tersebut.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, merakamkan penghargaan dan tahniah atas kejayaan pasukan JSJ menyelesaikan kes berkenaan.

Dalam twitter terbaharunya sekitar jam 4.09 petang tadi, beliau merakamkan “ Syabas JSJ D9, Ipk Srwk @ PDRMsia bjaya selesaikan kes tembak/bunuh di Balingian, Mukah. Penembak di tangkap dan senjata dirampas. #GoPDRMGo.” – Sarawakvoice