PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam mengarahkan setiap hospital dan klinik kerajaan di negara ini mengemukakan laporan keselamatan dan kesihatan, terutama berkait aspek keselamatan dan penyelenggaraan bangunan.

“Ini termasuk laluan keselamatan dan lokasi berkumpul yang mudah diakses ke tempat lebih selamat dengan kadar segera kerana Prosedur Operasi Standard (SOP) Kecemasan sewajibnya diaplikasikan sebagai persediaan kesiapsiagaan,” katanya dalam satu kenyataan media petang semalam.

Kenyataan ini dipanjangkan kepada media selepas beliau mengadakan lawatan ke lokasi tragedi di Unit Rawatan Rapi, Hospital Sultanah Aminah di Johor Bahru.

Ahmad Zahid menerusi kenyataan itu turut mengarahkan satu lembaga siasatan ditubuhkan berhubung tragedi yang mengorbankan enam jiwa itu.

“Saya mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan kerajaan akan memastikan setiap bantuan dan keperluan kepada keluarga mangsa disegerakan.”

Kata Timbalan Perdana Menteri lagi, beliau yakin Kementerian Kesihatan dan pihak berwajib sudah mengambil langkah tertentu dalam mengenal pasti punca kejadian.

“Yang penting sekarang adalah keselamatan pesakit lain, kakitangan hospital serta bahagian bangunan yang lain berada dalam keadaan selamat dan tidak terjejas,” katanya lagi. – Sarawakvoice