Wahab salur dana RM30,000 untuk laksana program SMK Agama Saratok

0
13

SARATOK: Pendidikan akan terus menjadi fokus utama dalam memastikan misi kerajaan dalam usaha pembangunan modal insan benar-benar berjaya dan membawa impak positif kepada penduduk dan negara.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.38 Kalaka, Datuk Haji Abdul Wahab Aziz, merangkap Pengerusi Lembaga Pelancongan Sarawak berkata demikian sewaktu merasmikan Majlis Graduasi dan Anugerah Kecemerlangan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Saratok bertempat di Dewan As-Saadah hari ini.

Jelas Wahab, SMK Agama adalah satu-satunya sekolah agama di kawasan tersebut dan ia merupakan aset yang perlu dijaga dengan sebaik mungkin bagi memastikan ia terus berfungsi dengan baik dalam membentuk sahsiah dan memberi ilmu kepada pelajar.

“Dana sebanyak RM30 000 diperuntuk bagi memperkasa dan membantu menjayakan pengelolaan aktiviti pendidikan. Bantuan juga akan disalurkan untuk pelajar di kawasan berkenaan yang akan melanjutkan pelajaran ke Institut Pendidikan Tinggi (IPT) peringkat Ijazah sebanyak RM400 , manakala peringkat diploma RM300,” ujarnya.

Wahab seterusnya menegaskan agar para ibu bapa terus menjadi kunci utama kejayaan anak-anak dalam pelajaran.

Ibu bapa katanya tidak seharusnya bergantung harap sepenuh kepada pihak sekolah dalam memberi pendidikan kepada anak-anak.

“Anak-anak kita adalah amanah yang perlu kita pantau dan beri perhatian dengan swbaiknya bagi memastikan mereka berjaya dalam pelajaran dan kehidupan.

“Maka dengan itu jadilah ibu bapa yang bertanggungjawab dan sentiasa mengambil berat akan kebajikan anak-anak,” tambahnya.

Wahab juga menjelaskan bahawa beliau akan melakukan usaha dalam memberi nilai tambah untuk sektor pelancongan bagi kawasan Saratok dan Kabong.

Usaha ke arah itu jelasnya akan dipergiatkan dari semasa ke semasa bagi meningkatkan lagi taraf ekonomi dan pendapatan penduduk.

Hadir sama Pengetua SMKA Saratok, Roslan Mohd. Saini, Pengerusi PIBG, Wan Kamarulzaman Wan Ali serta tetamu jemputan khas yang lain. – Sarawakvoice