Pengedar sasar sekolah, pelajar Tingkatan Lima paling tinggi ambil dadah

0
3

KUALA LUMPUR: Kajian mendapati pelajar Tingkatan Lima mencatat peratusan tertinggi mengambil dan menyalah guna dadah iaitu 40.6 peratus, diikuti Tingkatan Empat (32.5 peratus), Tingkatan Tiga (19.8 peratus), Tingkatan Dua (5.4 peratus) dan Tingkatan Satu (0.08 peratus).

Kedah negeri paling tinggi pelajarnya terlibat menyalah guna dadah iaitu 274 pelajar, diikuti Kelantan 197, Perak 180.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada sidang media selepas mempengerusi Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Membanteras Gejala Dadah di Parlimen hari ini bimbang dengan perkembangan tidak sihat berkaitan isu dadah dalam kalangan pelajar sekolah.

“Pengedar dadah kini bertindak menggunakan pelajar untuk menjadi penagih supaya pasaran dadah dapat dipertingkatkan,” ujar Zahid menurut Bernama.

Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, kajian Kementerian Pendidikan melibatkan 35,755 responden merangkumi pelajar Tingkatan Enam hingga Satu mendapati 1,457 daripada mereka mengambil dadah.

Sebanyak 74 peratus pelajar ini mengambil methamphetamine, 20 peratus kanabis dan selebihnya dadah jenis lain.

Memberitahu keputusan mesyuarat membanteras dadah, Zahid berkata mesyuarat turut meluluskan cadangan menubuhkan Makmal Khas Ujian Dadah Berbahaya di Hospital Kuala Lumpur.

Mahkamah khas membicarakan kes berkaitan dadah juga bermula bagi mempercepat proses perbicaran dan keputusan mahkamah.

Pihak kementerian juga meneruskan usaha memperkasa tindakan Agensi Anti Dadah Kebangsaan, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Kementerian Kesihatan dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam).

Mesyuarat juga mencadangkan agar aset pengedar dadah yang dirampas dan didapati bersalah dicairkan dan duitnya digunakan bagi membantu aspek pencegahan dan pemulihan.

Mesyuarat susulan akan diadakan 30 hari akan datang dan Zahid mahu tindakan susulan serta kuat kuasa operasi dilakukan bagi menangani gejala salah guna dadah di kalangan pelajar ini. – Sarawakvoice