Lim Guan Eng sekali lagi didesak berundur

0
5

GEORGETOWN:  Sekali lagi Ketua Menteri Pulau Pinang berdepan dengan gesaan supaya segera berundur daripada kerusinya.

Pada jam 2 petang tadi, satu kumpulan sekitar 2,500 anak muda berarak dalam Himpunan Pemuda Bangkit 2016  Ride Against Corruption 2.0 itu di pekarangan Komtar membawa memorandum mendesak supaya Lim Guan Eng meletak jawatan  dan menarik  balik sokongan terhadap Perhimpunan Bersih 5.0.

Memorandum berkenaan diserahkan kepada Pegawai Maklumat Kerajaan Pulau Pinang, Zahar Zainul.

Menurut Naib Ketua Pemuda Umno, Khairul Azwan Harun, memorandum itu turut mendesak agar Kerajaan Pulau Pinang membina dan membangunkan perumahan kos rendah bagi penduduk negeri ini.

“Kita turut mendesak agar Guan Eng menangani masalah pembangunan tidak terkawal yang menyebabkan banjir kilat di beberapa kawasan,” katanya kepada media.

Selain itu, ujarnya,  ia turut  mendesak agar Kerajaan Negeri menghentikan pembangunan di kawasan bukit dan tanah tinggi yang menyebabkan berlakunya kejadian tanah runtuh.

Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP didesak agar menghentikan aktiviti penambakan laut yang mengakibatkan gangguan ekosistem dan memberi kesan kepada punca pendapatan nelayan pesisir pantai.

Khairul Azwan berkata, perhimpunan itu adalah solidariti anak muda bagi mendesak Guan Eng meletakkan jawatannya kerana terbabit dengan dua pertuduhan rasuah di mahkamah.

“Kami juga memberi amaran, jangan sesekali mengadakan Bersih 5.0 kerana kita akan berperang jika ia terus diadakan. Bersih 5.0 ialah alat DAP untuk menjatuhkan negara,” katanya. – Sarawakvoice