KUALA LUMPUR: Kerajaan Selangor diingatkan supaya tidak  menuding jari dengan menyalahkan pihak lain dan mengalihkan isu gangguan bekalan air di negeri itu sebagai bahan politik sedangkan rakyat terpaksa berdepan dengan masalah bekalan air tersebut.

Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma),  Abdullah Zaik Abd Rahman dalam satu kenyataan berkata, penutupan loji rawatan air sebanyak tiga kali berturut-turut dalam tempoh sebulan membuktikan betapa seriusnya pencemaran sumber air bersih untuk kegunaan rakyat di Selangor.

“Pihak berkuasa negeri Selangor diminta cari penyelesaian yang komprehensif kepada masalah air di Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas penutupan Loji Air Semenyih pada 22September lalu ekoran berlaku pencemaran sehingga menyebabkan beberapa kawasan di Selangor terjejas. Penutupan  berulang lagi pada 4 Oktober lepas.

Sebelum ini, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dilaporkan sebagai berkata terdapat bukti mengenai pencemaran air di Sungai Semenyih yang menunjukkan kecenderungan unsur sabotaj oleh UMNO bagi melemahkan kerajaan negeri.

Sebagai reaksi terhadap tuduhan Azmin itu, Ketua Perhubungan UMNO Selangor yang juga Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar mencabar Azmin untuk membuat laporan polis.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar semalam berkata, Jabatan Alam Sekitar tidak menemui sebarang unsur sabotaj dalam siasatan awalnya mengenai pencemaran Sungai Semenyih.

Ujar Abdullah Zaik, gangguan bekalan air yang berulang kali berlaku terhadap pengguna di sekitar Hulu Langat, Kuala Langat, Sepang dan Petaling ini menunjukkan ketidakcekapan dan kegagalan kerajaan negeri menguruskan krisis berkenaan.

“Apa pun kelemahan terhadap isu pengurusan dan pemantauan perlu dicari langkah penyelesaian. Jangan berdalih daripada melaksanakan tugas berkhidmat kepada rakyat,” katanya. – Sarawakvoice