MUKAH: Seorang lelaki terbunuh dalam insiden pergaduhan membabitkan lebih 40 individu berhampiran sebuah ladang kelapa sawit di Ulu Sungai Arip, di sini malam tadi.

Menurut sumber, pergaduhan tersebut membabitkan penduduk sebuah rumah panjang dan ahli kongsi gelap, yang turut membabitkan penggunaan senjata api dan senjata tajam.

1bc67ac0-4d9b-41ff-831b-0e179a3280e2

Difahamkan, mereka yang terlibat dalam pergaduhan itu bagaimanapun melarikan diri setelah menyedari ketibaan sepasukan pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah sekitar jam 8 malam untuk mengawal keadaan.

Ketua Polis Daerah Mukah, Deputi Superintendan Jimmy Panyau ketika dihubungi media mengesahkan kejadian bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

Mangsa yang kemudian dikenal pasti sebagai Fabian Janti Lebau, 26 tahun, dipercayai ditembak di bahagian bawah rusuk sebelah kanan selain ditetak pada bahagian kepalanya.

“Tembakan dipercayai menggunakan senapang patah dan dua kelongsong peluru senapang patah dijumpai berdekatan mayat mangsa.

Insiden tersebut berlaku kira-kira 100 meter dari tempat halangan yang didirikan oleh penduduk rumah panjang ke ladang milik anak syarikat sebuah syarikat perladangan terkemuka negara.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Sibu untuk proses bedah siasat.

Berkait insiden itu juga, Polis Mukah telah menahan dua lelaki Iban dan seorang lelaki Cina bagi membantu siasatan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mazlan Mansur dijangka mengadakan sidang media hari ini di Kuching berhubung kes berkenaan. – Sarawakvoice