KUCHING: Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri memerlukan sekurang-kurangnya empat lagi bot penyelamat, bagi mengimbangi keperluan semasa dalam menghadapi musim banjir.

Pengarahnya, Nor Hisham Mohamed berkata, ketika ini pihaknya mempunyai 55 bot penyelamat alumunium dan satu bot fiber.

“Jika kita memiliki empat bot tersebut, kita dapat memenuhi piawaian dua bot untuk setiap balai bomba dan penyelamat di seluruh negeri.

“Apabila satu bot digunakan untuk proses penyelamatan dan pemantauan, satu lagi boleh diletakkan dalam mod bersedia,” katanya pada sidang media sempena Majlis Penyerahan Bot Penyelamat sumbangan Perbadanan Pembangunan Ekonomi Negeri (SEDC).

Hadir sama, Pengurus Besar SEDC, Soedirman Aini.

Bot fiber sumbangan SEDC sempena Bulan Kesiapsiagaan Bencana Nasional itu turut dilengkapkan dengan enjin 15 kuasa kuda, dan boleh dioperasikan dengan bilangan anggota yang kecil.

Ia sesuai untuk digunakan dalam aktiviti penyelamatan di tempat-tempat yang cetek, sempit dan di kawasan kediaman yang dinaiki air.

Soedirman dalam respons segeranya kepada masalah tersebut memberitahu, SEDC bersedia untuk menampung kekurangan yang dihadapi oleh pihak bomba, dengan menyumbang bot-bot yang diperlukan.

Berkaitan dengan banjir, Hisham memberitahu bahawa pihaknya telah dimaklumkan oleh Jabatan Meterologi bahawa fenomena La Nina tidak akan berlaku kuat pada tahun ini.

“Namun disebabkan keadaan cuaca yang tidak menentu, kita bersiap siaga untuk menghadapi bah biasa, yang muncul setiap kali musim tengkujuh.

“Juga banjir kilat, berikutan taburan hujan yang tinggi, yang boleh berlaku akibat perubahan iklim.

Oleh itu katanya, pihaknya telah mengenal pasti lokasi-lokasi yang terdedah kepada bencana ini di seluruh negeri.

“Ini termasuklah Kuching dan Samarahan yang berhadapan risiko banjir kilat, Mukah untuk air termenung (banjir disebabkan air laut tinggi berbanding air sungai) serta banjir ulang di Pantu, Limbang dan Lawas.

“Kawasan Betong dan Saratok pula berhadapan risiko tanah runtuh akibat pergerakan air yang deras,” katanya lagi. – Sarawakvoice