M’sia eksport kayu RM22.14 bilion ke Jepun 2015, akan meningkat apabila cukai import dikurangkan

0
26

KUALA LUMPUR: Kerajaan Jepun bersetuju mengurangkan cukai import papan lapis Malaysia, justeru langkah ini dipercayai dapat membantu meningkatkan eksport papan lapis ke Negara Matahari Terbit itu.

Menurut Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Datu Nasrun Datu Mansur, pengurangan cukai import tersebut merupakan perkembangan positif mengikut Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP).

TPP merupakan satu daripada 13 perjanjian perdagangan yang ditandatangani Malaysia merangkumi kepentingan 12 negara iaitu Malaysia, Amerika Syarikat, Vietnam, Jepun, Singapura, Brunei, Australia, New Zealand, Kanada, Mexico, Peru serta Chile.

Perjanjian tersebut dalam proses ratifikasi selama dua tahun.

“Ini tak pernah berlaku kepada negara lain, kecuali Malaysia, kita berharap dengan perjanjian TPP ini eksport papan lapis akan bertambah dengan pesat,” kata Nasrun semasa sidang Dewan Rakyat pada Isnin.

Nasrun menjawab soalan tambahan Ahmad Nazlan Idris (BN-Jerantut) berhubung kelebihan industri kayu negara yang diperoleh dalam perjanjian perdagangan bebas serta TPP berbanding negara luar.

Nasrun turut menambah bahawa nilai eksport industri kayu negara pada 2015 ialah RM22.14 bilion, peningkatan 6.5 peratus berbanding RM20.79 bilion pada 2014.

“Bagi tempoh Januari hingga Julai tahun ini, nilai eksport ialah RM12.52 bilion, peningkatan 1.6 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelum ini,” katanya.

Kerajaan menyasarkan nilai eksport industri kayu dalam tempoh lima tahun akan datang meningkat ke paras RM25.77 bilion. – Sarawakvoice