KUCHING: Empat mangsa dikejarkan ke hospital dengan satu daripadanya mengalami sedikit kelecuran tahap rendah dalam satu kejadian kebakaran melibatkan tiga unit rumah kedai di Kenyalang Park, dekat sini semalam.

Menurut Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Negeri, Farhan Sufyan Borhan, kejadian berlaku awal pagi semalam dengan kesemua mangsa berjaya menyelamatkan diri biarpun mengalami gangguan respitori berikutan terhidu asap yang banyak.

“Pihak kita menerima panggilan sekitar jam 3.37 pagi dan dua jentera serta dua ambulans EMRS dengan kekuatan 19 anggota dikejarkan ke lokasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuching dan Batu Lintang.

“Setibanya di lokasi, pasukan mendapati sebanyak tiga unit rumah kedai dua tingkat berkembar dengan struktur kekal berukuran 20×40 kaki sedang dijilat api.

“Premis yang terjejas adalah di tingkat satu yang dijadikan stor simpanan barang-barang dan kedai jahitan manakala di tingkat dua bangunan tersebut kosong, dengan sedikit peralatan selain dijadikan tempat kediaman.

Kata Farhan, pasukan menggunakan satu aliran 300 kaki dan dua nozel serta satu aliran 400 kaki dan dua nozel untuk mengekang api daripada merebak.

Api berjaya dikawal dalam tempoh setengah jam sebelum padam sepenuhnya sejam kemudian.

Mangsa yang sesak nafas dan cedera kata Farhan, dikejarkan ke hospital oleh pasukan paramedik dan EMRS.

Punca kebakaran bagaimanapun masih disiasat. – Sarawakvoice