KUALA LUMPUR: Ketua UMNO Negeri Selangor, Tan Sri Noh Omar menyifatkan tuduhan Menteri Besar Datuk Seri Azmin Ali , UMNO dalang di sebalik kejadian tercemarnya Sungai Semenyih bukan sahaja tidak masuk akal, tetapi melucukan.
Justeru, beliau mencabar Azmin supaya membuat laporan polis jika ada bukti konkrit.
Azmin yang juga timbalan presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) semalam dipetik sebagai berkata bahawa Kerajaan Selangor mempunyai “bukti kukuh” bahawa UMNO di sebalik berlakunya kejadian itu, namun beliau enggan memberi penjelasan lanjut.
Bagi Noh yang juga Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, kecenderungan Azmin menuding jari ala “Bangau Oh Bangau”, tidak akan menyelesaikan masalah.
Bercakap kepada pemberita di lobi Parlimen pada Isnin, Noh yang jelas tidak puas hati dengan tuduhan dilemparkan Azmin itu menyatakan bahawa UMNO tidak bermain politik kotor.
“Kita tidak mahu menimbulkan kesulitan kepada rakyat,” katanya, sambil menambah beliau mencabar Azmin buat laporan polis atau pihak bertanggungjawab jika beliau punya bukti.
Dengan itu, kata Noh dapat dibuktikan sama ada tuduhan itu benar atau tidak berasas.
Tindakan Kerajaan Selangor melemparkan tuduhan sedemikian, katanya, tidak akan membantu menyelesaikan masalah.
“Mereka suka menyalahkan pihak lain, dan tidak mahu mengaku kesilapan. Itu budaya mereka,” katanya.
Bagi Ahli Parlimen Tanjung Karang itu, Kerajaan Negeri sepatutnya mengambil langkah pencegahan, namun jelas mereka menangani masalah itu dengan tidak cekap.
Azmin berkata, kerajaan Selangor akan mengkaji punca dan menyelesaikan isu berkenaan.
Bagi Noh, sepatutnya, Azmin mengambil tindakan pencegahan, apatah lagi, kejadian itu sudah berlaku tujuh kali.
Katanya, Kerajaan Negeri Selangor sepatutnya pergi ke akar umbi untuk mengetahui punca sebenar, termasuk kilang haram. – Sarawakvoice