Saturday, October 8, 2022

Presiden FAS: Hanifah belum beri keputusan

Secara Rawak

KUCHING: Masih samar dan belum ada kata muktamad siapa yang akan mengemudi Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), sementelah Datuk Hanifah Hajar Taib Alsree masih lagi “berkira-kira” untuk menerima tanggungjawab tersebut.

“Saya masih belum membuat keputusan. Ia satu tanggungjawab dan amanah yang berat.

“Saya tidak perlu menjadi Presiden untuk menyokong pasukan Sarawak, ” katanya yang kini bertanggungjawab sebagai penasihat badan bola sepak Sarawak itu.

Hanifah yang juga anak bongsu Yang di-Pertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud berkata, beliau kini selesa dengan tugas menasihati persatuan itu.

“Paling penting bagi saya adalah untuk memberikan kata-kata semangat, motivasi dan inspirasi kepada pasukan negeri ini, agar mereka dapat menjulang nama Sarawak hingga muncul juara,” katanya yang juga tokoh korporat dan kemasyarakatan terkemuka Sarawak.

Hanifah menjelaskan, biarlah ahli majlis FAS memikirkan siapakah calon yang terbaik untuk mengetuai persatuan tersebut.

“Saya tidak berangan-angan untuk memegang jawatan tersebut. Malah saya tidak pandai untuk berangan-angan pun!

“Cuma saya berharap demi negeri Sarawak, demi FAS, demi pemain dan penyokong setia skuad Ngap Sayot, Presiden baharu ini kelak hendaklah yang terbaik dan terbukti kewibawaannya,” jelasnya lagi.

Jelasnya, beliau sedia membantu jika diperlukan.

“Misalnya jika kekurangan dari segi kemudahan dan peralatan latihan dan sebagainya, saya boleh membantu.

Hanifah sebelum ini diwarwarkan sebagai Presiden baharu persatuan tersebut, namun kemudian diumumkan sebagai Penasihat, setelah proses rundingan dijalankan.

Jawatan tersebut kosong berikutan pengunduran Datu Sudarsono Osman yang menolak untuk dicalonkan semula.

Malah timbalannya, Datu Abu Bakar Marzuki juga mengundurkan diri atas alasan sibuk dengan jawatan baharunya sebagai Pengarah Unit Perancang Negeri.

Sebelum Hanifah, nama Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Abdullah Saidol dicanangkan untuk menerajui badan tersebut.

Bagaimanapun Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Semop itu memilih untuk menolak tawaran tersebut bagi memberi tumpuan kepada tugas hakikinya. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru