BINTULU: Selepas 33 tahun berkecimpung dalam politik, Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Dr James Jemut Masing hari ini membayangkan akan berundur daripada arena politik dan sebagai Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS).

Berucap pada Persidangan Pewakilan Tritahunan Ke-4 PRS, yang dirasmikan Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem selaku Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sarawak, Masing memberikan kejutan apabila bercakap pasal persaraan dan penggal terakhirnya sebagai Presiden.

“Tempoh 33 tahun itu sudah terlalu lama. Tidak selama-lamanya saya boleh memimpin PRS.

“Malah sudah tiba masanya kita membentuk, dan mempersiapkan barisan pemimpin muda untuk meneruskan legasi kepemimpinan sedia ada.

“Terima kasih kerana memberi saya peluang memimpin (parti) tiga tahun lagi. Cukuplah. Usia sekarang pun sudah mencecah 67 tahun,” katanya dengan tenang tetapi lantang.

Menurutnya, beliau pasti keluarganya pun tidak akan membenarkan beliau untuk terus aktif dan berada dalam radar politik lebih lama lagi.

Masing yang mengasaskan parti itu pada Dismber 2003 bersama-sama Sng Chee Hua berikutan pembatalan pendaftaran Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) sebelum itu menang tanpa bertanding sebagai Presiden bagi tempoh tiga tahun lagi.

Kata Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Baleh itu lagi, sudah tiba masanya untuk barisan kepemimpinan muda PRS diketengahkan bagi memastikan parti tersebut terus relevan dalam perkembangan politik semasa.

“PRS perlukan pemimpin muda yang lebih bertenaga, berwawasan dan berjiwa rakyat.

“Kita memiliki ramai pemimpin muda yang berpotensi dan mereka perlu diberikan peluang untuk memimpin,” katanya.

Jelasnya lagi, beliau berbangga kerana di dalam parti tersebut, telah wujud budaya mengundur diri secara sukarela dan ia mampu menghasilkan implikasi positif terhadap PRS, terutama dari segi perpaduan.

“Ia petunjuk yang jelas bagi membolehkan parti ini sentiasa segar dengan idea baharu dan dipenuhi barisan pemimpin pelapis.

“Kita tidak boleh kekal selamanya menerajui sesebuah parti. Kita mesti tahu bila perlu berundur,” katanya.

Pada 2 Disember 2006, Masing menang tanpa bertanding sebagai Presiden PRS pada persidangan di Miri, yang dipulau oleh satu kumpulan yang setia menyokong Timbalan Presiden, Datuk Sng Chee Hua.

Sebanyak 700 perwakilan daripada 22 cawangan (PRS mempunyai 28 cawangan PRS yang disahkan oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS)) telah hadir.

Joseph Entulu Belaun kemudian menyandang jawatan Timbalan Presiden PRS.

Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pengangkutan ini dilahirkan pada 5 Mac 1949 di Kapit dan memperoleh pendidikan awalnya di sekolah rumah panjang ketika berusia enam tahun.

Masing yang lahir dalam keluarga politik kemudian melanjutkan pengajian hingga memperolehi ijazah sarjana muda Pendidikan dan sarjana dari Victoria University, New Zealand pada tahun 1976 sebelum merangkul ijazah Doktor Falsafah (PhD) daripada Australian National University di Australia pada tahun 1982.

Beliau dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri Sarawak pada 13 Mei lalu. – Sarawakvoice