Ayuh karamkan PDRM! – Pemangku Presiden FAS

0
3

KUCHING: “Ayuh karamkan PDRM dengan semangat Ngap Sayot!” Pemangku Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), Abdul Wahab Rahim semalam menyeru para penyokong Sarawak untuk hadir beramai-ramai menyaksikan aksi terakhir Liga Super di Stadium Negeri malam ini.

Menurutnya, perlawanan tersebut amat penting kerana ia adalah aksi terakhir skuad negeri itu pada musim ini, dan sebarang keputusan akan mempengaruhi kedudukan Sarawak dalam liga tersebut.

“Kita hanya perlukan satu mata. Tetapi pada aksi malam ini kita mahukan kemenangan.

“Kita mahu ia menjadi pencetus kepada kebangkitan baharu skuad ini, yang kini dalam saf kepimpinan baharu,” tegasnya.

Katanya, sebarang keputusan pada malam ini akan menjadi kayu pengukur kepada perancangan persatuan dalam menghadapi kempen baharu musim depan.

“Saya pasti anak-anak buah David Usop akan memberikan aksi paling bersungguh pada malam esok, kerana ia perjuangan terakhir mereka.

“Mereka akan bermain dengan sepenuh tenaga dan keupayaan dan ini pasti akan menggembirakan para penyokong yang hadir kelak,” katanya lagi.

Sarawak yang mengharungi pusingan awal musim ini dengan suram kini bergelut untuk mengekalkan kedudukan di tangga kelapan setelah mengumpul 21 mata hasil lima kemenangan, enam seri dan 10 kalah. – Sarawakvoice