Ilham: Pengundi Melayu sukar berubah

KUALA LUMPUR: Adakah pengundi Melayu akan berganjak dari menyokong UMNO/BN selepas isu pemecatan mantan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, penubuhan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan pelbagai skandal besar negara kepada mengundi pembangkang?

Bagi badan penyelidik Ilham Centre, pola pengundi Melayu cukup unik dan orang Melayu sukar membuat perubahan politik.

“Pilihan politik atas asas parti. Biasanya turun-temurun. Jika ada anak ada cucu yang berlawanan arus, mereka memilih untuk berdiam diri. Faktor pilihan atas calon dan isu terlalu minima,” kata kenyataan itu.

Hisommudin Bakar dari pusat berkenaan bekata, pengundi Melayu tidak suka memikirkan perkara besar, rumit dan berbelit-belit.

Katanya, isu dengan angka besar jutaan dan bilion, sukar dihadam oleh pengundi Melayu.

“Lokaliti yang berada di pedalaman, jauh dari sumber maklumat primer menambah kelebihan kepada Umno/BN. Sebab itu majoriti kerusi Parlimen pedalaman milik Umno/BN,” katanya lagi.

Menurut Hisommudin, pengundi Melayu tidak terkesan dengan gelombang nasional dan kalau adapun sifatnya sementara kerana faktor emosi marah.

“Maka, sabotaj pada Umno dan BN berlaku. Namun sifatnya lokal, tidak menyeluruh, sementara. Masa yang panjang akan meredakan ketegangan, dan akhirnya sokongan kembali kepada yang asal,” katanya lagi.

Selain kaum, kata beliau, isu dan sentimen agama juga menjadi tunjang undi sukar berubah.

Katanya, pada majoriti pengundi Melayu, walaupun UMNO dilihat nasionalis Melayu yang kurang Islamik, namun ia lebih dijamin baik berbanding pembangkang yang lebih dilihat gagal menjaga Islam dan seringkali memanipulasi agama demi kepentingan politik.

Berdasarkan pola utama di atas, Tim Ilham Centre, katanya, menjangkakan dengan segala insiden yang berlaku mutakhir ini ia tidak akan berjaya memangkin perubahan undi kepada pembangkang secara total sekiranya pembangkang tidak memanfaatkan segenap ruang yang ada.

“Perubahan Melayu ibarat ‘api dalam sekam’, yang perlu digerakkan secara hikmah dan bijaksana.Tiada apa yang boleh diharapkan pada pengundi Melayu sekiranya segala strategi ia tidak digarap dengan baik,” tambahnya.

Ancaman sebenar sekarang kepada penguasa, ujar beliau ialah pengundi muda Melayu yang terdedah dengan maklumat pantas melalui media sosial dan portal Internet. – Sarawakvoice