KUCHING: Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem hari ini yakin ekonomi Sarawak akan terus berkembang pada tahun hadapan, biarpun dalam keadaan ketidaktentuan ekonomi global.

Sarawak menurutnya, akan kekal sebagai penyumbang terbesar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia, dengan pertumbuhan yang agak positif.

14718891_1234407946632772_1849110647635547642_n

Pada tahun lalu, Sarawak muncul negeri ketiga selepas Johor dan Selangor, yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

“Negeri ini mencatatkan pemerolehan sebanyak RM18.9 bilion, terutama dari sektor industrinya,” kata Adenan sewaktu merasmikan Seminar Perniagaan dan Pelaburan Sarawak Ke-3 anjuran Institut Kepimpinan dan Strategik Asia (ASLI) di sini.

Tegasnya, potensi ekonomi negeri ini belum dimanfaat sepenuhnya terutama dengan kepelbagaian sumber yang ada.

“Sarawak satu-satunya negeri di rantau ini yang menawarkan kadar elektrik paling murah, khususnya bagi keperluan industri, selain jaminan bekalan tenaga yang mencukupi.

“Kita tidak ada masalah dalam hal itu kerana memiliki kepelbagaian sumber tenaga diperbaharui, terutama sumber hidro,” katanya.

Pada masa yang sama jelasnya, negara juga mampu menawarkan kawasan yang luas untuk kegunaan industri dan kelebihan-kelebihan ini cukup memadai untuk mewujudkan iklim perniagaan dan perdagangan yang kondusif kepada pelabur untuk mengembangkan operasi mereka ke negeri ini.

14606417_1234408259966074_11720861597465927_n

Adenan mengaku, masih terdapat beberapa cabaran utama dalam mengekalkan prestasi cemerlang ekonomi negeri ini seperti kekurangan penerbangan terus ke Kuching dan beberapa bandar utama lain, khususnya Sibu, Miri dan Bintulu, yang menjadi pusat Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE).

“Kekurangan penerbangan terus ke semua bandar terbabit memberikan sedikit kesulitan kepada komuniti pelabur dan peniaga dan kita berharap perkara ini dapat diteliti oleh pihak berkaitan dan mencari jalan penyelesaian terbaik,” katanya.

Ketika ini, Taman Perindustrian Samalaju kekal sebagai lubuk ekonomi utama Sarawak dengan nilai pelaburan asing (FDI) yang dicatatkan mencecah RM23.3 bilion. – Sarawakvoice