Awas pesalah pedofilia, buah zakar anda mungkin dikembiri

0
50

KUALA LUMPUR: Pedofilia awas! Jangan main-main, jika anda melakukan kesalahan kemungkinan anda akan dikenakan hukuman kasi.

Caranya, melalui pembedahan dengan memotong kedua-dua buah zakar, menggunakan bahan kimia, atau melalui pembedahan dengan menghilangkan fungsi buah zakar sehingga menyebabkan pemandulan.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Azizah Mohd Dun berkata, kerajaan sentiasa terbuka kepada segala pandangan dan cadangan bagi memastikan isu berkaitan kanak-kanak dan wanita ditangani dengan baik.

Beliau menyatakan keyakinannya terhadap Jawatankuasa Khas Jenayah Seksual yang dipengerusikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azlina Othman Said. Jawatankuasa itu kini sedang membincangkan hukuman, terma dan garis panduan berkaitan dengan isu jenayah seksual.

Beliau menjawab soalan Shamsul Iskandar Mohd Akin (PKR-Bukit Katil) yang ingin tahu sama ada hukuman kembiri kimia boleh dilaksanakan seperti di Indonesia.

Baru-baru ini, kerajaan Indonesia memutuskan untuk mengenakan hukuman kembiri terhadap perogol di negara itu.

Azizah mengakui bahawa banyak usaha telah dilaksanakan bagi menangani isu berkaitan, malah, katanya, kerajaan pernah memaklumkan kemungkinan menggubal akta baharu khusus bagi jenayah seksual kanak-kanak atau meminda akta berkaitan jenayah sedia ada termasuk Kanun keseksaanm Akta Kanak-Kanak 1996.

Negara ini pernah gempar dengan isu jenayah seksual terhadap kanak-kanak oleh Richard Huckle, lelaki dari London yang telah melakukan pencabulan terhadap 23 kanak-kanak.

Lelaki itu telah dihukum penjara seumur hidup oleh mahkamah di London 6 Jun lalu. – Sarawakvoice