Wednesday, August 17, 2022

Pan Borneo: Penduduk beri kerjasama erat kepada kontraktor, kontraktor beri peluang kerja kepada penduduk

Secara Rawak

SELANGAU: Membina situasi menang-menang dalam pembinaan projek pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo — dengan penduduk memberi kerjasama erat kepada syarikat kontraktor, manakala kontraktor pula memberi peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.

Setiausaha Politik Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Adriana Chumang Nyambung menyifatkan kerjasama ini memudahkan kontraktor menyelesaikan tugas mereka.

Manakala di pihak penduduk, mereka memperoleh pendapatan daripada pekerjaan yang dilakukan.

“Projek Lebuh Raya Pan Borneo akan mengurangkan kadar kemalangan jalan raya dan menjimatkan masa perjalanan dari satu tempat ke satu tempat,” kata Adriana mewakili Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Joseph Entulu Belaun yang juga Ahli Parlimen Selangau.

Beliau menghadiri upacara Miring Projek Pembinaan Lebuh Pan Borneo Pakej Lapan Bagi Jajaran Sungai Kua hingga ke Sungai Arip pada Rabu yang turut dihadir Pegawai Daerah Selangau Christopher Ranggau Unting, Penghulu Balai Gara, Penghulu Thomas Jawa, Penghulu Jurampang Ratoh.

Sementara itu, Pengarah Musyati-Mudajaya JV, Abdul Rahman Ahmad berkata projek pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak bagi pakej lapan mengambil masa empat tahun untuk disiapkan.

Jalan raya meliputi Sungai Kua hingga ke Sungai Arip sejauh 65 kilometer bernilai RM1.325 bilion membuka banyak peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.

Abdul Rahman melihat pemilik tanah yang ketika ini terletak di tengah-tengah hutan akan mendapat manfaat kerana tanah mereka nanti akan tinggi nilainya.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat kerana memberi sepenuh kepercayaan kepada pihaknya menjalankan projek berkenaan. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru