Friday, October 7, 2022

Kembalikan status Sarawak, Sabah: DAP gesa kemukakan usul di Parlimen

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Artikel 1(2) dalam Perlembagaan Persekutuan perlu dipinda bagi mengembalikan hak serta kuasa Sabah dan Sarawak selaras dengan Semenanjung Malaysia yang sebelum ini dihakis sejak 1976.

Ahli Parlimen Sandakan, Stephen Wong menjelaskan langkah yang perlu diambil untuk mengembalikan status Sarawak dan Sabah ke kedudukan sebelum 1976 sebelum Perlembagaan Persekutuan dipinda sehingga dikatakan menyebabkan taraf kedua-dua negeri itu diturunkan.

Beliau yang mengemukakan usul persendirian bagi membolehkan akta itu dipinda menjelaskan, ia hanya mendedahkan sikap diskriminasi kerajaan ke atas undang-undang yang melibatkan kuasa serta hak Sabah dan Sarawak.

“Dihantar pada 27 September lalu, usul pindaan Artikel 1(2) itu menuntut agar Persekutuan Malaysia diperkuat serta menambah autonomi Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi sama rata Malaya.

“Sepatutnya, usul pindaan itu dibentangkan terlebih dahulu dan disenaraikan sebagai urusan kerajaan melebihi kepentingan usul persendirian yang dibawa oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang,” katanya seperti dipetik roketkini.

Sebelum tahun 1976, Artikel 1 dalam Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan Sabah dan Sarawak masing-masing sebagai sebuah wilayah, sama kedudukannya dengan Persekutuan Tanah Melayu.

Bagaimanapun pada 1976, pindaan Perlembagaan telah dibuat sehingga menyebabkan status Sabah dan Sarawak sebagai wilayah telah diturunkan menjadi negeri.

Semasa ia dibentangkan pada 1976, hanya empat Ahli Parlimen – tiga dari DAP dan satu dari PEKEMAS menentang pindaan tersebut, iaitu Lim Kit Siang, Dr Tan Chee Khoon, Farn Seong Than dan Lee Lam Thye.

Ahli Parlimen Barisan Nasional, termasuk dari Sarawak menyokong usul itu. Ini termasuk Tun Abdul Rahman Yakub Ketua Menteri ketiga Sarawak yang juga Ahli Parlimen PBB ketika itu.

Menurut Stephen yang juga Pengerusi DAP Sabah, semua Ahli Parlimen yang mendukung Perjanjian Malaysia 1963 terutama dari Sabah, Sarawak dan Labuan perlu menyokong tuntutan agar usul pindaan itu tersenarai dalam urusan kerajaan yang akan dibentangkan.

“Saya menyeru kerajaan negeri Sabah dan Sarawak untuk menyokong pindaan Artikel 1(2) ini bagi memastikan Malaysia mempunyai komitmen dalam menjadikan Malaya, Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi sama rata,” tegasnya.

Ahad lalu, dalam ucapan pada Seminar Sejarah Sarawak di Kuching, Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem berkata,  Kerajaan Sarawak berhasrat untuk mengembalikan status Sarawak kepada kedudukan asal sebelum pindaan Perlembagaan dilakukan pada 1976.

Adenan meminta Putrajaya mempertimbangkan negeri Sarawak agar setaraf dengan Persekutuan Tanah Melayu kerana ia merupakan satu daripada pihak yang memetrai Perjanjian Malaysia 53 tahun lalu.

Perbincangan terhadap pindaan terhadap Artikel1(2) Perlembagaan Persekutuan yang menurunkan status Sarawak dan Sabah daripada wilayah kepada negeri di Malaysia berlangsung pada 12 dan 13 Julai 1976.

Ia diluluskan pada 13 Julai.

“Jadi, saya meminta Adenan dan semua Ahli Parlimen BN Sabah dan Sarawak menyokong agar rang undang-undang ini diperdebat dalam sesi Parlimen kali ini,” kata Stephen. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru