Tuesday, December 6, 2022

Jangan mudah termakan dengan slogan “Sabah for Sabahans”, kata Ketua Menteri

Secara Rawak

KOTA KINABALU: Ketua Menteri mengingatkan rakyat Sabah supaya tidak mudah terpedaya dengan slogan “Sabah untuk orang Sabah” yang dikemukakan pelbagai parti politik pembangkang yang disifatkannya tidak sesuai untuk rakyat negara ini.

Datuk Seri Musa Aman berkata, pemimpin politik yang menggunakan slogan berkenaan mempunyai agenda mereka sendiri untuk dipenuhi.

Beliau berkata, kerajaan  Barisan Nasional telah membuktikan ia bekerja demi kepentingan rakyat seperti terbukti daripada kemajuan dan pembangunan di seluruh Sabah, termasuk di luar bandar.

“Slogan itu, terutama daripada parti politik baharu pembangkang akan menjejaskan pembangunan di Sabah kerana kebanyakan peruntukan adalah daripada Kerajaan Persekutuan,” kata beliau dalam satu majlis Nabawan.

Sabah, kata Musa akan tertinggal di belakang apabila tidak terdapat kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan.

Selain itu, ujarnya, kerajaan sedia mendengar keperluan rakyat, tetapi sumbangan kerajaan persekutuan untuk membantu membangunkan Sabah tidak sepatutnya diabaikan.

Musa berkata, Kerajaan Persekutuan perlu berganding bahu dengan kerajaan negeri bagi memastikan projek yang dilaksanakan di Sabah menepati kumpulan sasarannya.

Sambil menekankan pentingnya perpaduan dalam kalangan rakyat pelbagai etnik di negeri itu, Musa berkata, kedua-dua kerajaan terbabit perlu bekerjasama demi kepentingan dan masa depan rakyat.

Lagipun, kata beliau, Sabah banyak bergantung kepada Kerajaan Persekutuan, termasuk dari segi keselamatan, pendidikan dan kesihatan.

Slogan “Sabah for Sabahans” dan “Sabahans for Sabah” disemarakkan parti berpangkalan di negeri ini bagi meniupkan sentimen dan mendapat sokongan rakyat pilihan raya akan datang.

Sarawak telah juga memainkan slogan “Sarawak for Sarawakians” dalam usaha mendapatkan autonomi daripada Kerajaan Persekutuan, terutama dalam kalangan pembangkang dan aktivis tertentu yang jelas bercanggah dengan aspirasi untuk mewujudkan integrasi nasional.

Dalam pada itu, dalam ucapan pada Seminar Sejarah Sarawak di Kuching pada Ahad lalu, Ketua Menteri berkata,  Kerajaan Sarawak berhasrat untuk mengembalikan status Sarawak kepada kedudukan asal sebelum pindaan Perlembagaan dilakukan pada 1976.

Tan Sri Adenan Satem  meminta Putrajaya mempertimbangkan negeri Sarawak agar setaraf dengan Persekutuan Tanah Melayu kerana ia merupakan satu daripada pihak yang memetrai Perjanjian Malaysia 53 tahun lalu.

Pindaan terhadap Artikel1(2) Perlembagaan Persekutuan yang menurunkan status Sarawak dan Sabah daripada wilayah kepada negeri di Malaysia berlangsung pada 12 dan 13 Julai 1976. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru