KUCHING: Sebarang cubaan dan rundingan yang dilakukan Kerajaan Negeri Sarawak dengan Kerajaan Persekutuan tidak membawa maksud bahawa rundingan tersebut mahu membawa Sarawak keluar dari Malaysia.

191407ad-032e-467f-8440-1a81de4e8ee1“Rundingan tidak sama sekali untuk (membawa Sarawak) keluar dari Malaysia, tetapi kita cuba mendapatkan hak seperti dalam Perlembagaan Malaysia 1963.

“Dengan kuasa Sarawak kian terhakis kita cuba menuntut kembali kuasa kita seperti dulu,” kata Ketua Menteri Sarawak Datuk Sri Adenan Haji Satem pada perasmian Penutupan Seminar Sejarah Sarawak di hotel terkemuka di Kuching pada Ahad.

Kerajaan Negeri kini dalam perundingan dengan Kerajaan Persekutuan berkaitan perkara yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia 1963.

Adenan Satem berkata, melalui Akta Perlembagaan (Pindaan) 1976, terdapat satu artikel dalam perlembagaan tersebut tidak sah.

“Ada satu artikel dalam Perlembagaan Malaysia yang tidak sah… dikatakan dalam Perlembagaan Malaysia, negeri-negeri di Malaysia mestilah terdiri dari tiga kumpulan iaitu negeri-negeri Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak serta Singapura.

Namun, menurut Adenan apabila berlaku pindaan pada 1976, Sabah dan Sarawak tidak wujud lagi dan hanya tinggal negeri-negeri Tanah Melayu.

“Negeri di Malaysia mesti terdiri daripada Sabah dan Sarawak serta 13 lagi negeri lain (di Semenanjung),” kata Adenan merujuk kepada penurunan taraf negeri Sarawak.

“Walaupun Sarawak kaya dengan hasil bumi seperti minyak dan gas, namun kita masih mundur.

“Sejak 53 tahun merdeka, negeri kita jauh di belakang berbanding negeri di Semenanjung Malaysia,” ujar beliau.

Adenan diketahui sedaya upaya berunding dengan Kerajaan Persekutuan merujuk kepada Perlembagaan Malaysia 1963 bahawa setiap negeri mesti mempunyai hak sama rata.

“Perjanjian Malaysia tidak boleh diubah walaupun kita cuba meminda Perlembagaan kerana ia merupakan perjanjian yang sudah berdaftar melalui Perjanjian Antarabangsa,” ujar Adenan. – Sarawakvoice